NOVEL

Friday, July 16, 2004

CINTA DI BUMI KENYALANG

BAB: 1
PERTEMUAN
SAMBIL menjinjing beg pakaiannya, Syafiq melangkah dengan tenang masuk ke perut pesawat MAS yang akan menerbangkannya dari Lapangan Terbang KLIA ke Kucing. Pramugari jelita tersenyum manis menyambut kedatangannya sambil berkata; “ Semoga encik selesa Dengan penerbangan kami.”

Syafiq berasa tidak sabar lagi hendak menjejakkan kaki ke Bumi Kenyalang. Walaupun terpaksa menaiki pesawat, merentas Laut Cina Selatan, namun hatinya berasa gembira. kerana dia ingin merantau jauh dari kampung halaman. Pada usia muda inilah rencah hidup perlu dirasa, jauh merantau banyak pengalaman, banyak cabaran mematangkan fikiran. Kerana itu dia tidak menolak bila diarahkan oleh majikannya bertugas di negeri yang pernah di jajah oleh Charles Brooks itu.

“ Tahniah, awak dinaikkan pangkat menjadi Pengurus Ladang di Serawak.” Dia masih teringat kata-kata Ketua Pengarah. Ketika itu dia seperti ingin melonjak kesukaan.

“ Alhamdulillah. Saya berjanji akan berkerja dengan bersungguh-sungguh.” Itulah janji yang telah dilafaskannya di depan ketua jabatannya sebagai menyatakan rasa terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan. Dia tidak akan melupakan ikrarnya itu.

Masih segar dalam ingatannya semasa ditemuduga, dia ditanya oleh Ketua Pengarah adakah sanggup dihantar bertugas ke Sabah atau Serawak?. Lalu diapun menyatakan kesanggupannya. Kemudian dia ditanya lagi kenapa sanggup berkerja hanya sebagai Penyelia Ladang sedangkan dia memiliki Ijazah Pertanian?. Lalu dia pun memberi dua sebab. Pertama, dia memang berminat dengan kerja-kerja pertanian. Kedua kerana dia memerlukan satu pekerjaan yang boleh menjamin masa depannya.

Dia sedar ramai lepasan Universiti yang menganggur kerana terlalu memilih pekerjaan. Kerana itu dia sanggup memohon jawatan Penyelia Ladang yang kelayakan minima cuma setakat SPM sahaja. Dia yakin jawatan itu sebagai langkah awal untuk melangkah lebih jauh. Kerana itu sejak hari pertama berkerja, dia menunjukkan kesungguhan, ketekunan dan kesabaran dan majikannya berpuas hati dengan kerja yang dilakukannya. Apabila terdapat kekosongan jawatan Pengurus Ladang di Serawak, maka namanya dicalunkan oleh ketua jabatannya.

Dia pun berazam apabila sampai di tempat barunya nanti, dia akan menjalankan tugas dengan lebih bersungguh-sungguh kerana baginya itulah satu kepuasan. Selama inipun dia berkerja dengan tekun dan sabar bukan untuk memuaskan hati ketua jabatannya tetapi untuk kepuasan hatinya sendiri. Dia juga yakin kerja yang dilakukan dengan hati yang ikhlas itu menjadi ibadah.

“ Semua penumpang diminta mengambil tempat duduk masing-masing.” Pengumuman yang dibuat oleh pramugari itu segera dipatuhi.

Syafiq bersama kira-kira dua ratus penumpang mengambil tempat duduk masing-masing. Sengaja dipilihnya tempat duduk di tepi jendela supaya dapat menikmati keindahan alam semasa pesawat itu meluncur ke angkasa. Ingin dirakamnya detik-detik yang bersejarah itu dalam mindanya kerana sebentar lagi pesawat itu akan berlepas ke destinasi yang belum pernah dijejakinya. Bumi Kenyalang seolah-olah sedang melambai kedatangannya. Di sanalah dia akan mencari rezeki serta memulakan kehidupan baru dalam suasana yang serba baru.

"Hai!"

Gadis berkulit putih mulus, berwajah ceria, bermata jeli dengan bulu matanya yang melentik itu menyapa. Menatap wajah anggun gadis itu mengingatkannya kepada seorang penyanyi popular yang diminatinya.

“ Hai!” Dia membalas dengan sedikit rasa gementar.

“ Saya rasa saudara tersalah mengambil tempat duduk.” Gadis itu bersuara lembut tapi mengesankan.

“ Oh maafkan saya,” Syafiq segera berdiri memberi laluan kepada gadis itu untuk mengambil tempat duduk di tepi tingkap.

Syafiq tahu tempat duduk itu bukan untuknya berdasarkan nombor yang tertera pada tiket penerbangan. Cuma sebentar tadi dilihatnya tempat duduk itu kosong lalu didudukinya kerana menyangka tiada penghuni.

“ Silalah duduk,” Syafiq mempersilakan.

“ Saya nak letakkan beg ini dalam rak.” Gadis itu nampak terkial-kial mengangkat beg lalu Syafiq segera membantunya.

“Terima kasih,” ucapnya ramah.

“ Sama-sama,” balas Syafiq. “Sila duduk kerana pesawat akan berlepas sebentar lagi.”

“ Saudara duduklah semula di tempat itu,” gadis itu seperti ingin membalas budi.

“ Itu bukan tempat duduk saya.”

“ Saya benarkan saudara duduk di situ.”

Syafiq berasa serba salah kerana sebentar tadi gadis itu menuntut tempat duduknya di tepi tingkap tetapi kini dia ingin menukar fikirannya.

“ Sila duduk, encik. Sebentar lagi pesawat akan berlepas.” Pramugari datang seolah ingin menyelesaikan masalah antara Syafiq dengan gadis itu.

“ Kami ada sedikit masalah tempat duduk,” Syafiq menghulurkan tiket penerbangannya kepada Pramugari..

“ Encik duduk di sini dan dia di tepi tingkap,” Pramugari memberi arahan dan gadis itu terpaksa akur.

BERSAMBUNG........