NOVEL

Monday, July 19, 2004

Kumpulan Cerita Rakyat Negeri Sembilan

 

MAKLUMAN:
Cerita Rakyat Negeri Sembilan ini sedang dalam proses penerbitan. Tidak dibenarkan menyalin untuk tujuan dibukukan. Harap maklum.


CERITA RAKYAT NEGERI SEMBILAN


OLEH: ABDUL LATIP BIN TALIB


1.DANAU SISIK EMAS


Di Pinggir Kampung Sawah Raja, Kota, Negeri Sembilan, terdapat satu tempat bernama Danau Sisik Emas. Menurut ceritanya suatu ketika dahulu kawasan tersebut merupakan sebuah danau yang cantik. Airnya jernih dan banyak ikan berkeliaran di dalamnya. Apabila ada pertabalan undang luak Rembau maka Danau Sisik Emas menjadi tumpuan orang ramai. Mereka mengadakan pesta keramaian di tempat tersebut untuk menyambut kedatangan Datuk Undang. Tetapi kini Danau Sisik Emas terbiar dan tidak lagi dipedulikan. Kawasan tersebut telah tumpat dan ditumbuhi semak samun.
         Suatu ketika dulu, di sebelah atas Danau Sisik Emas terdapat sebuah kampung bernama Kampung Pelebar. Kerana sesuatu sebab maka Kampung tersebut telah ditinggalkan dan kini cuma tinggal kesan sahaja. Manakala di seberang danau tersebut terdapat sebuah kampung bernama Kampung Sawah raja. Asal kampung itu bernama Sewar Raja iaitu tempat raja mengutip cukai. Menurut ceritanya, cukai di kutip daripada perahu-perahu yang melalui Sungai Rembau yang terdapat di sebelah Danau Sisik Emas.
       Pada 8 Februari 1973 Kampung Sawah Raja pernah menggemparkan negara kerana berlakunya peristiwa berdarah yang mengorbankan 9 orang termasuk 3 anggota polis. Kisah yang menyayat hati itu berlaku apabila seorang lelaki iaitu penduduk tempatan bernama Idrus bin Hassan, 67 tahun, yang juga dikenali sebagai Idrus Harimau telah mengamuk dan membunuh penduduk kampung tersebut termasuk anggota polis.
         Mungkinkah kejadian tersebut ada kaitannya Dengan Danau Sisik Emas?. Menurut siasatan pihak Polis, Idrus mengamuk kerana permatang sawahnya di robohkan oleh jirannya. Kedudukan sawah milik Idrus berhampiran dengan Danau Sisik Emas. Ada pula yang mengatakan Idrus menuntut ilmu kebatinan dan pernah bertapa di Danau Sisik Emas. Namun cerita yang sebenar kenapa Idrus sanggup mengamuk dengan menggunakan senapang patahnya hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.
          Berbalik kepada kisah Danau Sisik Emas, menurut ceritanya suatu ketika dahulu ada seorang lelaki bernama Pidano yang berasal dari Minangkabau Sumatera Barat. Dia juga seperti kebanyakan lelaki bangsa Minangkabau, bila sudah dewasa akan keluar dari kampung untuk mencuba nasib di rantau orang. Salah satu tempat yang menjadi pilihan mereka ialah Tanah Melayu.
           Setelah lama berjalan akhirnya Pidano sampai di kampung Sawah Raja. Pidano tertarik hati dengan keindahan Danau Sisik Emas yang airnya jernih dan sentiasa berombak. Di dalam danau itu kelihatan ikan-ikan berenang di permukaan air. Lalu Pidano mengambil keputusan untuk menetap di situ. Dia mendirikan sebuah pondok berhampiran dengan Danau Sisik Emas.
           Untuk menampung kehidupannya, setiap hari Pidano mengail ikan di Danau Sisik Emas dengan menggunakan sampan. Hasil dari tangkapan ikan tersebut ditukar dengan beras dan garam dari penduduk kampung tersebut. Pidano juga dikatakan seorang pemuda yang lurus dan baik hati. Dia hanya menukarkan ikan hasil tangkapannya dengan secupak beras dan sejemput garam sahaja. iaitu sekadar cukup untuk makanannya pada hari tersebut. Dan esoknya dia akan mengail ikan lagi dan menukarnya lagi dengan secupak beras dan sejemput garam. Walaupun hasil tangkapannya banyak dia tetap menukarkan ikannya dengan secupak beras dan sejemput garam. Sikap Pidano ini menyukakan hati penduduk kampung tersebut.
            Danau Sisik Emas dikatakan mempunyai penunggu yang terdiri dari makhluk halus. Penunggu danau itu berasa marah kerana banyak ikan di danau itu dapat dikail oleh Pidano. Pada suatu hari sedang Pidano memancing ikan mata kailnya tersangkut pada sesuatu. Dengan perlahan-lahan Pidano menarik mata kailnya ke atas dan alangkah terkejutnya Pidano bila mendapati mata kailnya tersangkut pada rantai emas.
           Pidano dapati rantai emas itu panjang dan tidak putus-putus bila di tarik naik ke dalam perahunya. Maka ketika itu timbul rasa tamak di hati Pidano. Dia ingin cepat kaya dengn penemuan harta karun tersebut. Pidano terus menarik rantai emas sehingga perahunya sarat.
             Apa yang sedang dilakukan oleh Pidano di lihat oleh seorang budak lelaki yang sedang berdiri di tepi danau tersebut. Budak itu menyuruh Pidano mengerat rantai emas itu dengan menjeritkan perkataan " Kerat kerat kerat". Namun tidak dipedulikan oleh Pidano. Malah dia semakin tamak dan terus menarik rantai emas itu ke dalam perahunya. Apabila perahu itu berlebih muatan akhirnya karam.
         Pidano cuba berenang ke tebing tasik itu namun tidak berdaya. Malah Pidano berasa seperti ada sesuatu yang menariknya ke bawah. Akhirnya dia mati lemas. Penduduk kampung mencari mayat Pidano lalu dinaikkan ke darat dan dikebumikan.
       Sejak peristiwa itu penduduk kampung tidak berani memancing ikan di danau tersebut. Ini menyebabkan ikan semakin banyak dan membesar sehingga air danau itu nampak berkilauan akibat sisik-sisik ikan yang berkeliaran dipermukaannya. Apabila hari hampir senja ketika sinar matahari kemerahan di kaki langit maka permukaan tasik itu nampak berkilauan seperti emas lalu mereka namakan Danau Sisik Emas.
         Menurut ceritanya lagi, suatu ketika dahulu di tepi danau itu terdapat pinggan mangkuk kepunyaan makhluk halus yang menjaga danau tersebut. Apabila penduduk kampung hendak mengadakan majlis kenduri mereka boleh meminjam pnggan mangkuk itu melalui perantaraan seorang bomoh. Kononnya bomoh itu akan membakar kemenyan di tepi danau lalu menyeru makhluk halus memohon pinjam barang kepunyaannya.
         Namun akhirnya makhluk halus itu tidak membenarkan lagi barang-barangnya diambil kerana banyak yang tidak dpulangkan semula oleh peminjam ditempat asalnya. Mana-mana pinggan mangkuk yang pecah tidak diganti. Kerana itu sampai sekarang penduduk kampung tidak dapat meminjam lagi.




2.ASAL NAMA JELEBU DAN SEJARAHNYA


               Ke Jelebak ke Jelebu
               Tuai padi tiga serangkai
               Siapa kena kemat Jelebu
               Kalau tak mati badai mengasai.
        Suatu masa dahulu pantun empat kerat itu amat popular di kalangan orang-orang tua di Negeri Sembilan khususnya di Jelebu kerana ia menggambarkan betapa pandainya orang Jelebu memikat sesiapa yang berkenan di hatinya sehingga orang yang kena pikat itu tidak boleh melupakanya hingga ke akhir hayat.
          Yang lucunya ada ibu bapa di luar kawasan Jelebu merasa takut kalau anak lelaki mereka pergi ke Jelebu kerana takut terkena "kemat Jelebu" tetapi kini pantun itu cuma menjadi senda gurauan anak-anak muda sahaja. Jelebu merupakan sebuah daerah di Negeri Sembilan yang bersempadan dengan Pahang. Ia terdiri dari lapan mukim iaitu Kuala Klawang,Hulu Klawang Klawang,Hulu Teriang,Kenaboi,Pertang, Peradong, Teriang Hilir dan Gelam Lemi.
            Mengikut ceritanya, nama Jelebu berasal dari dua kisah yang diceritakan secara lisan sejak dari dahulu hingga ke hari ini. Kisah pertama, pada suatu hari, Tok Batin Jelbu iaitu ketua suku kaum asli yang mendiami kawasan sekitar Sungai Lumut, sedang berkerja di ladangnya. Setelah berasa penat dia mengajak isterinya berehat sambil melihat pokok labu yang mereka tanam tumbuh dengan suburnya. Apabila hari menjelang petang isterinya mengajak Tok Jelbu pulang ke rumah. Tetapi kata Tok Jelbu dia hendak mandi dahulu di Sungai Lumut.
           " Kau baliklah dulu untuk sediakan makan malam kita," pesan Tok Jelbu kepada isterinya.
            " Baiklah, bang. Tapi elok kalau abang berhati-hati mandi di sungai sebab airnya dalam. Cepat balaik ke rumah, ye bang…" balas isterinya sambil berjalan pulang.


Maka Tok batin Jelbu pun turun ke dalam Sungai Lumut untuk mandi dan membersihkan dirinya. Sedang dia asyik mandi tiba-tiba hujan turun dengan lebat diikuti dengan kilat sabung menyabung. Dan dengan tiba-tiba sahaja maka air Sungai Lumut itu pun pasang. Tok Batin Jelbu tidak sempat naik ke darat dan beliau dihanyutkan oleh air sungai yang deras itu.


Isteri Tok Batin Jelbu berasa risau kerana suaminya masih belum pulang ke rumah. Tambahan pula ketika itu hujan turun dengan lebatnya. Sebaik sahaja hujan reda maka isteri Tok Batin Jelbu segera pergi ke Sungai Lumut untuk mencari suaminya. Namun setelah puas dicari dan dipanggil namanya, Tok Batin Jelbu seolah telah hilang ghaib secara tiba-tiba.


Berita hilangnya Tok Batin Jelbu cepat merebak di kalangan orang-orang asli di kawasan tersebut dan mereka keluar beramai-ramai untuk mencari namun tidak berjaya ditemui. Akhirnya mereka yakin bahawa Tok Batin Jelbu mati lemas di Sungai Lumut dan mayatnya dibawa arus entah kemana. Dan Sebagai mengenang nama Tok Batin Jelbu maka tempat itu dinamakan Jelbu tetapi akhirnya bertukar menjadi Jelebu.


Kisah kedua pula ada kaitan dengan nama buah labu. Setelah Tok Batin Jelbu mati maka pokok labu yang ditanam di ladangnya tumbuh subur dan banyak mengeluarkan buah. Maka ramailah orang datang ke situ memungut buah labu tersebut. Mereka namakan tempat itu "Jalar Labu" tetapi akhirnya bertukar menjadi Jelebu.


Sejarah pembukaan Jelebu selalu dikaitkan dengan kedatangan orang-orang Minangkabau. Namun pada mulanya Jelebu didiami oleh kaum asli Jakun dari Suku Biduanda. Mereka merupakan penduduk asal Jelebu dan suku Biduanda masih ada hingga ke hari ini.


Kisah bermula apabila Batin Terjali iaitu anak Maharaja Alif yang memerintah kerajaan Pagar Ruyung Minangkabau, keluar mengembara untuk mencari pengalaman dan meluaskan pemerintahan ayah baginda. Setelah lama berjalan menyeberang laut dan sungai akhirnya Batin Terjali dan orang-orangnya sampai di Bukit Kundang Kundik di Jelebu. Kedatangan mereka disambut baik oleh orang-orang asli di kawasan tersebut.


Semasa berada di Jelebu, Puteri Embong Sari iaitu isteri Batin Terjali melahirkan seorang anak lelaki lalu diberi nama Datok Niko Menteri Mangku Alam Raja Sehari. Dan sebelum meninggalkan Jelebu untuk meneruskan pengembaraannya, Batin Terjali meninggalkan putera baginda kepada ketua suku orang asli Jelebu dengan pesanan bila puteranya sudah besar kelak hendaklah dijadikan penghulu Jelebu. Ketua orang asli itu bersetuju dan berjanji akan patuh dengan apa yang telah diperintahkan.


Adapun Batin Terjali terus mengembara untuk membuka negeri dan di setiap tempat yang disinggahinya baginda akan meninggalkan seorang putera kepada ketua suku kaum asli di situ dengan pesanan bila putera itu sudah dewasa kelak hendaklah di jadikan penghulu di tempat itu.


Kesemua Ketua kaum asli itu menepati janji mereka. Apabila putera Batin Terjali sudah besar maka dilantik menjadi Penghulu. Dengan ini wujudlah pemerintahan dari putera-putera Batin Terjali. Datok Niko Menteri Shah Mangku Alam Raja Sehari menjadi penghulu di Jelebu, Datok Kelana Putera Penghulu di Sungai Ujung dan Datok Johan Pahlawan Lela Perkasa di Johol. Hubungan antara mereka terus terjalin dan daerah itu akhirnya menjadi tumpuan orang-orang Minangkabau.


Walaupun begitu, dalam senarai daftar nama penghulu di Jelebu, orang pertama dicatat namanya sebagai penghulu Jelebu ialah Datok Gombak, kemudian Datok Mentunggang dan diikuti oleh Datok Moyang Salleh.


Datok Moyang Salleh merupakan Datuk Undang Luak Jelebu yang pertama dengan memakai gelaran Datok Mendelika Menteri Akhirul Zaman Sultan Jelebu. Gelaran itu dikurniakan oleh Sultan Johor iaitu Sultan Abdul Jalil semasa berlakunya peristiwa memutus tali ke Johor. Walau bagaimana pun Datok Moyang Salleh tidak melantik dirinya sebagai Sultan Jelebu dan beliau hanya menjadi Undang Luak Jelebu sahaja.


Pada mulanya Jelebu berada di bawah pemerintahan kerajaan Melayu Melaka tetapi apabila Sultan Melaka berpindah ke Johor maka taat setia orang Jelebu beralih ke Johor. Cuma setelah berlakunya peristiwa "MOYANG SALLEH MEMUTUS TALI KE JOHOR" barulah Jelebu bebas dari kekuasaan Sultan Johor.


Jelebu juga terkenal sebagai kawasan lindungan hujan kerana letaknya di dataran tinggi dan jarang menerima hujan berbanding kawasan lain di Negeri Sembilan. Kerana itu tanahnya subur dan terkenal dengan pengeluaran buah-buah tempatan.


Jelebu juga sering di kunjungi para pelancung dari dalam dan luar negeri kerana keunikannya. Untuk sampai ke Jelebu terpaksa mendaki Bukit Tangga yang mempunyai 48 keluk. Dan antara tempat yang menjadi tumpuan pelancung di Jelebu ialah Jeram Toi, Jeram Gading, Latar Kijang, Masjid Kuala Dulang dan Makam Datok Moyang Salleh.



3.DATUK MOYANG SALLEH MEMUTUS TALI KE JOHOR
Pada suatu ketika dahulu, daerah Jelebu di Negeri Sembilan berada di bawah pemerintahan Sultan Johor. Kononnya baginda seorang yang zalim dan tingkah laku baginda tidak disenangi oleh datuk-datuk Penghulu di bawah jajahan baginda.


Pada masa itu Datuk Uban (Tok Uban) iaitu Penghulu Rembau. Dia mempunyai seorang anak gadis yang cantik bernama Seri Banun. Bila Sultan Johor mendapat tahu kecantikan gadis itu maka baginda menghantar utusan untuk meminangnya. Tetapi pinangan baginda ditolak dengan alasan Seri Banun sudah bertunang dengan seorang pemuda pilihannya.


Sultan Johor menjadi murka kerana pinangan baginda ditolak lalu baginda memerintahkan Datuk Penghulu Rembau datang mengadap. Datuk Uban enggan datang ke Johor dengan alasan dia sudah tua tidak berupaya hendak berjalan jauh. Kerana itu dia menyuruh anaknya Si Amat pergi ke Johor sebagai pengganti. Apabila Amat mengadap Sultan Johor merasa terhina lalu bertanya kepada Si Amat kenapa hasrat baginda hendak mengahwini Seri Banun di tolak.


" Ampun, Tuanku. Seri Banun itu sudah bertunang," sembah Si Ahmad.


" Putuskan pertunangan mereka!". titah sultan.


" Ampun Tuanku," sembah Si Amat. " Patik tidak sanggup mungkir janji sebab sekali kita mungkir janji seumur hidup orang tidak akan percaya."


Baginda bertambah murka lalu memerintahkan Si Amat di bunuh. Pengawal istana segera menghayunkan pedangnya ke leher Si Amat tetapi senjata itu tidak melukainya kerana Si Amat memiliki ilmu kebal.


" Tuanku," kata Si Amat." Patik ini anak pembesar. Mengikut adat anak pembesar tidak boleh dibunuh. Tetapi kalau tuanku nak bunuh juga maka gunakan keris patik dan tikamkan ke rusuk sebelah kiri patik."


Mendengar itu Sultan mencabut keris lalu menikam rusuk kiri Si Amat nya dan dengan sekali tikaman saja maka Si Amat pun mati. Berita pembunuhan Si Amat sampai ke Rembau. Datok Penghulu Rembau merasa amat sedih dengan kematian anaknya yang dibunuh oleh Sultan JOhor. Maka Datuk Uban pun mengadukan hal tersebut kepada Datuk Moyang Salleh.


Datuk Moyang Salleh turut merasa simpati dengan kematian Si Amat dan beliau juga tidak setuju dengan tindakan Sultan Johor membunuh seorang anak pembesar tanah jajahan.


" Kita mengharapkan pertolongan orang kaya," kata penghulu Rembau.


" Apa yang patut kita lakukan?" tanya Datuk Moyang Salleh.


" Mengikut adat kita, hutang darah mesti di bayar dengan darah. Hutang nyawa mesti dibayar dengan nyawa," jawab Penghulu Rembau.


" Kalau boleh kita cuba elakkan terjadinya peperangan antara kita dengan Sultan Johor. Sebab kalau terjadi peperangan akan banyak nyawa yang terkorban," kata Datuk Moyang Salleh.


" Apa fikiran orang kaya?" tanya Datuk Uban Penghulu Rembau.


" Izinkan Kita mengadap sultan Johor untuk minta penjelasan kenapa anak orang kaya Si Amat di bunuh," jawab Datuk Moyang Salleh.


" Iya, kita izinkan kerana elok cadangan orang kaya itu," balas Penghulu Rembau.


Maka Moyang Salleh pun bertolak ke JOhor dengan membawa empat orang pengiringnya iaitu Tok Gagah Lela Perkasa, Tok Laut Api, Tok Beruang Hitam, dan Tok Bauk. Empat orang sahabat itu terkenal kerana masing-masing mempunyai kegagahan dan kesaktian.


Apabila sampai di Johor maka Datuk Moyang Salleh meminta izin untuk mengadap tetapi baginda Sultan Johor tidak menerimanya. Malah Datuk Moyang Salleh dan para pengiringnya dibiarkan berdiri di halaman istana. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pengiring-pengiringnya Datuk Moyang Salleh.


" Beginikah adat sultan menyambut tetamu?" tanya Tok Gagah Lela Perkasa.


" Orang kaya Datuk Moyang Salleh adalah pembesar di tanah jajahan sultan. Sepatutnya kedatangannya dimuliakan," kata Tok Beruang Hitam pula.


" Raja adil kita sembah, raja zalim kita sanggah," balas Tok Laut Api yang memang terkenal dengan sifat panas barannya.


" Bersabar dulu wahai sahabat-sahabatku," pujuk Datuk Moyang Salleh. " Kita tunggu masa yang sesuai untuk bertindak."


Tiba-tiba langit gelap menandakan hujan lebat akan turun. Sultan yang duduk di anjung istana bersama pengiring hanya memerhatikan sahaja tanpa mempelawa naik ke istana. Baginda seolah sengaja hendak membiarkan utusan dari tanah jajahan itu basah kuyup di halaman istana.


" Tak lama lagi hujan lebat akan turun. Kita tak mahu basah. Kita nak cari tempat berteduh," kata Tok Beruang Hitam dengan wajah yang gusar.


" Jangan ke mana-mana. Kita terus berdiri di sini," Datuk Moyang Salleh memberi arahan.


Apabila hujan turun maka Datuk Moyang Salleh pun membuka destarnya lalu melambungkan ke atas. Tiba-tiba destar itu bertukar menjadi payung dan mereka berlima tidak basah oleh air hujan. Sultan Johor dan pembesar istana berasa takjub melihat kehebatan Datuk Moyang Salleh.


" Izinkan kita pula menunjuk kejantanan di depan sultan," kata Tok Gagah Lela Perkasa.


" Silakan…" balas Datuk Moyang Salleh.


Tok Gagah Lela Perkasa berjalan menuju ke sebatang pokok kepala yang tumbuh subur di halaman istana. Dia menggarukan bahagian belakang badannya pada batang kelapa itu. Kerana kuatnya tenaga Tok Gagah Lela Perkas menyebabkan pokok kelapa itu bergoncang dan buah yang masak jatuh berguguran.


Tok Beruang Hitam juga ingin menunjuk kehebatannya. Dia mencakar dinding istana dengan kukunya hingga dinding istana tercabut. Tok Laut Api pula menunjukkan kehebatannya bermain api. Apabila dia menghembuskan nafasnya maka keluar api yang besar sehingga hampir membakar langsir istana.


Sultan Johor berasa tercabar seolah Moyang Salleh dan para pengiringnya sengaja hendak menunjuk kehandalan masing-masing di depan baginda.


" Beta mahu kamu tunjukkan pula kehandalan kamu kepada mereka," titah Sultan kepada pembesar istana.


" Ampun Tuanku," sembah Datok Bendahara. " Setahu patik tidak ada sesiapa di negeri Johor ini mempunyai ilmu setanding dengan mereka."


Sultan Johor terdiam. Timbul juga ketakutan di hati baginda. Akhirnya baginda membisikkan sesuatu kepada Datuk Bendahara. Kemudian pembesar istana itu turun lalu bertemu dengan Datuk Moyang Salleh.


" Sultan izinkan kamu mengadap," kata Datuk Bendahara.


" Sebelum mengadap Sultan, berikan kami makanan terlebih dahulu sebab pantang kami mengadap dalam keadaan lapar," kata Datuk Moyang Salleh pula.


" Apa makanan yang kamu suka?" tanya Datuk Bendahara.


" Sediakan untuk kami berlima nasi lima puluh gantang dan lauknya seekor kerbau," jawab Datuk Moyang Salleh.


" Makanan sebanyak itu biasanya untuk dimakan oleh seratus orang," kata Datok Bendahara hairan.


" Jika baginda setuju kami akan naik mengadap tapi jika tidak setuju kami akan terus berdiri di sini," balas Moyang Salleh pula.


Mahu tidak mahu Sultan terpaksa bersetuju dengan syarat yang diberikan kerana bimbang utusan dari Jelebu itu akan bertindak liar terhadap baginda. Dan apabila jamuan sudah disediakan maka Datuk Moyang Salleh dan para pengiringnya naik ke istana untuk menjamu selera.


Sekali lagi Sultan Johor dan pembesar-pembesar istana berasa hairan kerana makanan yang mereka hidangkan boleh habis di makan oleh Moyang Salleh dan para pengiringnya yang cuma seramai lima orang.


" Suruh mereka mengadap beta segera. Kemudian suruh mereka balik ke Jelebu," titah Sultan Johor.


" Beginikah cara tuanku melayan pembesar tanah jajahan?" tanya Datuk Moyang Salleh sebaik sahaja dia mengadap Sultan.


" Sebab kalian datang ke istana tanpa diundang." jawab Sultan. " kamu juga derhaka kerana menunjuk kehebatan di depan beta."


Oleh kerana terlalu marah dan berasa terhina dengan sikap Sultan maka Datuk Moyang Salleh lupa tujuan asalnya datang ke Johor. Apa yang terlintas dalam fikirannya ialah tidak mahu bertuankan Sultan yang tidak betimbang rasa.


" Patik datang untuk memutuskan tali dengan Johor. Mulai hari ini Jelebu merdeka dari pemerintahan tuanku," kata Datuk Moyang Salleh.


" Beta tak setuju!" titah Sultan.


" Alamat negeri Johor akan huru hara kami kerjakan. Akan berlaku pertumpahan darah di bumi Johor ini," kata Moyang Salleh pula.


Kerana bimbang dengan tindak balas Datuk Moyang Salleh dan para pengiringnya, tambahan pula baginda sudah melihat kehebatan ilmu mereka, akhirnya Sultan Johor bersetuju walaupun berat hati baginda hendak melepaskan Jelebu keluar dari tanah jajahan baginda.


Baginda menganugerahkan Datuk Moyang Salleh cap mohor sebagai pemerintah " Bergajah Tunggal" dengan membawa gelaran Datuk Mendalika Akhir Zaman Sultan Jelebu.
Kemudian baginda Sultan Johor menyuruh Datok Moyang Salleh dan para pengiringnya meninggalkan Johor dengan segera. Semasa turun dari istana Datuk Moyang Salleh mencabut pedangnya lalu dicantasnya tempayan yang terletak di tepi tangga balairong. Kerana tajamnya mata pedang Datuk MOyang Salleh dan tetakannya yang kuat maka tempayan itu putus dua, tetapi masih tegak seperti biasa seolah tidak nampak bekas cantasan mata pedang pada tempayan itu.


" Selagi tempayan ini putus maka selagi itulah hubungan antara Jelebu dengan Johor akan putus," kata Datok Moyang Salleh lalu meninggalkan istana Sultan Johor.


Sultan Johor yang merasa tercabar lalu bersumpah " Muntah darah anak Jelebu yang menjejakkan kaki ke sini."


Kononnya sejak peristiwa itu orang-orang Jelebu tidak berani lagi menjejakkan kaki ke istana Sultan Johor kerana sesiapa yang pergi akan muntah darah.



4.ASAL USUL NAMA REMBAU



REMBAU merupakan sebuah daerah di Negeri Sembilan yang banyak menyimpan sejarah kedatangan orang-orang Minangkabau di Negeri Sembilan. Malah Rembau menjadi tempat berkumpulnya orang-orang Minangkabau untuk memulakan penghidupan baru di tanah melayu.


Nama Rembau diambil dari nama sejenis pokok yang bernama Merbau. Kisah bermula apabila sekumpulan orang asli terjumpa sebatang pokok Merbau yang amat besar dan tinggi menjulang. Pokok tersebut tumbuh di kaki Gunung Datok. Adapun Gunung Datok itu banyak menyimpan kisah sejarah dan kini orang ramai suka mendakinya sebagai salah satu aktiviti mendaki gunung.


Nama Rembau bermula dari peristiwa sekumpulan orang-orang asli yang diketuai oleh Batin Sekudai hendak membuat penempatan baru dikaki Gunung Datok. Semasa membuat kerja menebas dan menebang dalam usaha membersihkan kawasan tersebut mereka terjumpa sebatang pokok yang amat besar dan tinggi menjulang. Setelah bebincang akhirnya mereka membuat keputusan menebang pokok Merbau itu kerana kawasan tersebut hendak dijadikan tempat kediaman. Mereka bimbang pokok yang besar itu akan membahayakan keselamatan mereka.


Maka mereka pun menebang pokok Merbau tersebut secara bergilir-gilir dengan menggunakan kapak dan beliung. Mereka berkerja siang dan malam selama tujuh hari tujuh malam. Tetapi apa yang menghairankan mereka ialah pokok tersebut masih juga tidak mahu tumbang.


Setelah genap tujuh hari tujuh malam mereka berusaha untuk menumbangkan pokok Merbau tersebut tetapi masih tidak berjaya, akhirnya mereka mengadukan perkara itu kepada seorang Bomoh yang paling handal di kalangan mereka. Dan setelah bomoh itu melihat pokok tersebut maka bomoh itu menyuruh orang-orang asli itu mendaki Gunung Datok hingga sampai ke kemuncak. Kemudian mereka hendaklah meminta izin dari penunggu Gunung tersebut untuk menebang pokok Merbau tua itu.


Esoknya beberapa orang asli mendaki Gunung Datok dengan membawa pelbagai persembahan untuk diberikan kepada penunggu yang dipercayai berada di puncak gunung tersebut. Setelah sampai di puncak Gunung Datuk, mereka pun menyeru nama penunggu gunung itu sambil meminta kebenaran untuk menebang pokok Merbau tua yang tumbuh di kaki gunung itu. Setelah selesai mereka pun pulang ke rumah masing-masing.


Pada malamnya turunlah hujan lebat bersama ribut kencang. Dan pada keesokan paginya mereka beramai-ramai keluar dari rumah masing-masing menuju ke pokok Merbau tua itu untuk meneruskan kerja penebangan.


Tetapi alangkah terperanjatnya mereka bila melihat pokok Merbau tua yang amat besar dan tinggi itu sudah pun tumbang menyembah bumi. Mereka amat hairan melihat pangkal pokok yang begitu besar dan untuk mengukur lebarnya mereka duduk bersila di perdu pokok itu. Kabarnya setelah 40 orang duduk bersila barulah penuh pangkal pokok Merbau yang ditebang itu.


Mereka menjamu selera sambil bersuka ria menandakan sudah berjaya menumbangkan pokok yang paling besar itu. Sebahagian dari mereka menyusuri batang pokok itu untuk mencari pucuknya. Kabarnya pucuk pokok Merbau yang tumbang itu sampai ke sebuah sungai lalu Sungai itu dinamakan Sungai Ujung.


Dan kawasan pangkal pokok itu mereka namakan Kampung Merbau Tua. Untuk meringkaskan sebutan mereka sebut " Kampung Merbau" sahaja dan akhirnya bertukar menjadi Rembau sahaja.
Menurut ceritanya, sekumpulan orang-orang Minangkabau yang datang dari Pagar Ruyung Sumatera Barat telah datang ke Rembau dengan tujuan mengembangkan agama Islam di samping berniaga.


Oleh kerana orang-orang asli disitu menyambut kedatangan mereka dengan baik lalu mereka mengambil keputusan untuk menetap di situ malah ramai yang berkahwin dengan penduduk tempatan.
Datok Lela Balang iaitu ketua orang-orang Minangkabau telah membuka sebuah penempatan baru berhampiran kampung Merbau Tua dan kampung yang baru dibuka itu dinamakan


kampung kota. Kampung tersebut masih ada hingga sekarang.


Adik Datok Lela Balang pula membuka sebuah penempatan lagi lalu dinamakan Kampung Padang Lekuk. Sejak itu semakin ramailah orang-orang Minangkabau datang ke Rembau dan orang-orang asli pula meninggalkan tempat itu untuk membuat penempatan baru.


Menurut ceritanya lagi, Raja Melewar dari Pagar Ruyung Minangkabau datang ke Negeri Sembilan melalui Sungai Rembau lalu bersemayam di Kampung Penajis, tidak jauh dari Kampung Kota. Kemudian baginda mendirikan sebuah istana lalu dinamakan Kampung Istana Raja.


Apabila istana itu terbakar maka didirikan sebuah istana baru di Seri Menanti. Dan hingga sekarang Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilkan bersemayam di Istana Besar Seri Menanti.


Adapun nama-nama kampung seperti kampung Kota, kampung Penajis, kampung Istana Raja dan kampung Sawah Raja masih kekal namanya sehingga sekarang.




5.DATO’ SIAMANG GAGAP


Jika anda berkunjung ke Seremban mungkin nampak sebatang jalan dinamakan "JALAN DATO' SIAMANG GAGAP". Ramai tertanya-tanya siapakah Dato' Siamang Gagap?. Apakah jasanya sehingga namanya diabadikan pada sebatang jalan.


Menurut ceritanya, suatu ketika dulu memang wujud seekor Siamang yang gagap bila berbunyi. Penduduk kampung di Seri Menanti menganggap Siamang itu "keramat" kerana menjadi pelindung kepada penduduk kampung tersebut. Apabila ada musuh datang menyerang maka Siamang Gagap itu akan berbunyi sebagai tanda amaran supaya mereka bersiap sedia. Dengan itu penduduk kampung terselamat dari malapetaka.


Setelah Siamang Gagap itu mati maka penduduk kampung seperti kehilangan pelindung dan mereka tidak lupa jasa seekor haiwan bernama Siamang Gagap. Dan menurut sejarahnya ada seorang lelaki mendapat gelaran Siamang Gagap kerana jasanya menyelamatkan Seri Menanti dari angkara musuh. Lelaki itu bernama KAHAR BIN HAJI MUKMIN. Dan sejak dia mendapat gelaran itu maka beliau di kenali dengan nama "DATO' SIAMANG GAGAP'.
Kahar atau Dato' Siamang Gagap lahir pada tahun 1817 (mengikut catatan buku sejarah negeri sembilan) di kampung Repah tidak jauh dari pekan Tampin. Sejak kecil dia seorang anak yang lincah dan cerdik cuma satu kekurangannya iaitu gagap bila bercakap. Tetapi apabila besar dia berjaya mengatasi masalah gagapnya.
Pada mulanya Kahar berguru kepada TOK KALI SINGA seorang alim dalam ilmu agama. Kemudian dia ke Patani mendalami ilmu agama dan mempelajari ilmu persilatan. Dan seterusnya Kahar merantau ke tanah Minangkabau untuk mendalami ilmu persilatannya. Dan setelah penuh ilmu di dada barulah dia kembali ke kampung halamannya.
Kahar tidak kedekut dengan ilmu yang ada. Dia mengajar ilmu agama dan ilmu persilatan kepada anak-anak muda di kampngnya. Dia juga bercita-cita menjadi pembesar istana. Dan untuk mencapai cita-citanya Kahar mengajak ayah dan ibunya berpindah ke Kampung Sungai Layang yang letaknya tidak jauh dari istana Yamtuan Seri Menanti.
Sikap Kahar yang peramah amat disenangi oleh orang-orang kampung dan ilmunya yang tinggi menjadikan dia dihormati. Dan ketika itu Seri Menanti terkenal kerana pengeluaran hasil padi yang banyak serta rakyatnya yang hidup aman damai.
Orang-orang Rawa yang berasal dari Indonesia merasa iri hati dengan kemakmuran Seri Menanti dan mereka cuba menaklukinya. Setiap malam orang-orang Rawa menyerang penduduk kampung serta merampas padi serta harta benda yang berharga. Mereka yang cuba melawan akan dibunuh atau dicederakan. Dan ini menimbulkan ketakutan dikalangan penduduk kampung tersebut.
Mereka cuba mengadu kepada pihak istana tetapi Yamtuan tidak dapat berbuat apa-apa kerana bilangan orang-orang Rawa yang ramai tambahan pula baginda kuatir ramai yang akan menjadi mangsa jika berlaku peperangan dengan orang-orang Rawa.
Akhirnya Kahar memberanikan diri mengadap Yamtuan menyatakan kesanggupannya menghadapi orang-orang Rawa seorang diri. Pada mulanya Yamtuan tidak yakin dengan kebolehannya tetapi bila Kahar bersungguh-sungguh menyatakan kesanggupannya akhirnya baginda bersetuju dengan harapan tidak berlaku peperangan.
Kahar menggunakan tipu helahnya untuk memperdayakan orang-orang Rawa. Dia mengadap ketua orang-orang Rawa lalu mengaku datang dari Minangkabau bersama ramai pahlawan terbilang bertujuan membantu Yamtuan untuk memerangi orang-orang Rawa. Kahar juga mengajak mengadu kekuatan seorang lawan seorang untuk menguji kehebatan pahlawan dari Minangkabau.
Akhirnya berlakulah pertandingan pencak silat antara kahar dengan pahlawan Rawa yang terbilang dan dalam pertandingan itu Kahar berjaya mengalahkan lawannya. Kemudian Kahar mengatakan dia cuma orang suruhan sahaja berbanding pahlawan Minangkabau lain yang semuanya lebih handal darinya. Akhirnya orang-orang Rawa merasa takut lalu meninggalkan Seri Menanti.
Sebagai menghargai jasanya berjaya menghalau orang-orang Rawa maka Yamtuan Radin menganugerahkan gelaran DATO' SIAMANG GAGAP kepada Kahar dan beliau juga dilantik menjadi pembesar istana.
Sejak memegang tugas sebagai pembesar istana Dato' Siamang Gagap berjaya menjalin hubungan yang baik dengan pembesar negeri Pahang, Selangor, Johor dan Perak. Dengan adanya hubungan baik ini maka tidak berlaku peperangan antara mereka. Tetapi kedatangan Inggeris ke tanah Melayu telah merubah segalanya. Tambahan pula Inggeris mengamalkan "Pecah dan perintah" dalam usahanya menjajah negeri-negeri di tanah melayu.
Dato' Siamang Gagap yang tahu niat busuk Inggeris berjaya mempengaruhi Yamtuan supaya tidak menerima campur tangan Inggeris di Seri Menanti. Dan beliau juga berjaya menghalang Inggeris hendak mengenakan cukai di Sungai Linggi. Namun Inggeris tidak putus asa dan mereka berjaya menimbulkan perselisihan antara Dato' Klana Sungai Ujung dengan Yamtuan Seri Menanti.
Dengan bantuan Dato' Klana Sungai Ujung maka Inggeris menyerang Teraci yang terletak di bawah jajahan Yamtuan Seri Menanti. Dato' Siamang Gagap amat marah lalu meminta izin Yamtuan mempersiapkan sebuah angkatan perang untuk menentang orang-orang Inggeris.


Maka pada tahun 1875 berlakulah perang Bukit Putus antara Inggeris yang dibantu oleh Dato' Klana Sungai Ujung dengan angkatan perang Seri MEnanti yang dipimpin oleh Dato' Siamang Gagap. Kerana bilangan musuh lebih ramai ditambah pula dengan senjata yang cukup maka akhirnya angkatan perang Seri Menanti berjaya dikalahkan.


Kekalahan itu menyebabkan Inggeris berjaya campur tangan di Seri Menanti namun Dato' Siamang Gagap tidak mahu tunduk kepada Inggeris. Beliau akhirnya meninggalkan Seri Menanti untuk meneruskan perjuangan menentang Inggeris.
Ada mengatakan Dato' Siamang Gagap pergi ke Pahang lalu bergabung dengan Datuk Bahaman dan Mat Kilau menentang Inggeris. Tetapi ada pula mengatakan beliau pergi menunaikan haji ke Mekah dan meninggal disana.


Bagi mengenang jasa dan mengabadikan nama Dato' Siamang Gagap, maka Persatuan Sejarah malaysia Cawangan Negeri SEmbilan telah mencadangkan kepada majlis Perbandaran Seremban supaya nama beliau diabadikan pada sebatang jalan di Seremban. Permohonan itu telah dipersetujui dan sebatang jalan yang dulunya bernama Jalan Channer telah ditukar kepada JALAN DATO' SIAMANG GAGAP.



6.SI BONGKOK TANJUNG PUTERI
Suatu ketika dulu nama Si Bongkok Tanjung Puteri menjadi sebutan dan sanjungan orang-orang Johor terutama mereka yang tinggal di Kuala Sungai Johor, Pengerang, Pulau Ubin, Kukub, Pantai Changi dan Selat Tebrau. Mereka menganggap Si Bongkok seorang wira dan tokoh lagenda walaupun Inggeris menganggapnya sebagai lanun atau perompak laut kerana kegiatannya merompak kapal dagang kepunyaan mereka.


Di sekitar tahun 60-an kisah Si Bongkok Tanjung Puteri juga pernah dijadikan drama pentas oleh SHAHAROM HUSAIN dan drama itu cukup popular di kalangan masyarakat Melayu sesuai dengan semangat kemerdekaan tanah air yang baru sahaja bebas dari penjajahan British.


Tetapi kini kisahnya semakin dilupakan dan tidak mustahil nama Si Bongkok Tanjung Puteri juga akan lenyap begitu sahaja jika tidak ada usaha-usaha untuk mengenang tokoh tersebut.


Ada yang mengatakan Si Bongkok berasal dari Negeri Sembilan. Tetapi kerana dia cacat maka dia membawa diri ke Johor lalu menjadi anak angkat kepada sebuah keluarga melayu. Kerana itu Panglima Putih yang dikatakan adik kepada Si Bongok tidak teragak-agak untuk membunuh abangnya kerana menyedari hubungan mereka cuma sebagai abanng angkat sahaja.


Adapun Si Bongkok itu badannya bongkok arah ke kanan. Tangan kirinya cengkong dan mukanya herot bengkak sebelah kanan. Walaupun cacat tetapi semangatnya kuat dan tidak mahu tunduk kepada penjajah. Dia juga sanggup menentang adik kandungnya sendiri kerana mereka berlainan ideologi.


Kisah bermula pada sekitar tahun 1850an apabila Sultan Ali iaitu putera kepada Sultan Hussain Muhammad Shah menuntut takhta pemerintahan JOhor daripada Temenggong Ibrahim. Kekecohan itu bermula apabila Sultan Husain menyerahkan kuasa kepada Temenggong Ibrahim untuk memerintah Johor yaang ketika itu dikenali dengan nama anjung Puteri. Ketika itu Sultan Ali masih kecil sebab itulah pemerintahan Tanjung Puteri diserahkan kepada Temenggong Ibrahim. Tetapi apabila Sultan Ali sudah dewasa Temenggong Ibrahim terus berkuasa di Johor sekaligus telah menafikan hak baginda Sultan Ali sebagai pewaris takhta.


Temenggong Ibrahim enggan menyerahkan kuasa pemerintahan Tanjung Puteri kerana menganggap Sultan Ali tidak layak memerintah kerana baginda seorang yang boros dan suka bermain Judi. Untuk mengukuhkan kuasanya di Tanjung Puteri maka Temenggong Ibrahim membuat perjanjian dengan British.


Si Bongkok tidak setuju dengan tindakan Temenggong Ibrahim mengenepikan hak Sultan Ali dan beliau bertambah marah bila mendapat tahu pihak Britis telah dipelawa untuk campur tangan di Tanjung Puteri.


Maka Si Bongkok pun berusaha untuk mengembalikan kekuasaan Sultan Ali dengan cara menyerang kapal-kapal dagang kepunyaan British yang menuju ke Singapura. Tindakan Si Bongkok ini mendapat persetujuan daripada Sultan Ali.


Tindakan Si Bongkok juga di bantu oleh Mat Derus seorang pahlawan yang terkenal ketika itu. Mat Derus menyerang kapal dagang Inggeris yang melalui Mersing dan Kuala Sedili manakala Si Bongkok pula menyerang kapal dagang Inggeris di Selat Tebrau dan kawasan sekitarnya.


Akibatnya ekonomi Inggeris di Singapura hampir lumpuh kerana para pedagang takut untuk datang berniaga. Tambahan pula banyak kapal dagang yang melalui selat Johor telah di bakar oleh Si Bongkok dan orang-orangnya. Mereka yang melawan akan dibunuh kerana dianggap bersubahat dengan Inggeris.


Bila merasakan ekonominya mula tergugat maka British mengadakan perjanjian dengan Temenggong Ibrahim dan dalam perjanjian itu Temenggong Ibrahim mesti menghapuskan kegiatan lanun di perairan Johor dan kawasan sekitarnya.


Temenggong Ibrahim berjaya mempengaruhi Nong Mutalib yang bergelar Pahlawan JOhor supaya menghapuskan kegiatan lanun yang diketuai oleh Mat Deris. Dan untuk menentang Si Bongkok pula Temenggong Ibrahim mempengaruhi Panglima Putih iaitu adik Si Bongkok untuk menentang abangnya.


Dengan bantuan pembelot dari Singapura, Mersing, Lingga dan Teluk Belanga maka akhirnya Nong Mutalib berjaya membunuh Mat Derus serta menghapuskan lanun-lanun di sekitar Kuala Sedili.


Panglima Putih pula pada mulanya enggan untuk menentang abang kandungnya sendiri tetapi setelah kematian Tanjung iaitu isterinya yang dibunuh oleh Si Bongkok maka dia tidak ada pilihan melainkan berdepan dengan Si Bongkok untuk menuntut bela.


Akhirnya berlakulah pertarungan antara Si Bongkok dengan Panglima Putih. Walaupu pada mulanya Si Bongkok cuba mengelak terjadinya perkelahian serta menafikan dia yang membunuh Tanjung namun Panglima Putih tidak percaya malah terus berusaha membunuh Si Bongkok.


Setelah lama bertarung akhirnya Si Bongkok di katakan kalah dan berjaya di bunuh oleh Panglima Putih. Tetapi ada pula cerita mengatakan Si Bongkok tidak kalah tetapi dia pura-pura tergelincir lalu keris di tangannya menikam dadanya sendiri. Dan mayat Si Bongkok ditanam di satu tempat bernama Belungkor.


Walau apapun yang berlaku nama Si Bongkok Tanjung Puteri lebih di sanjung oleh orang ramai berbanding adiknya Panglima Putih. Usahanya menentang penjajah serta menjaga ketuanan Melayu tetap disanjung oleh orang ramai.




7.ASAL USUL ADAT PERPATIH



Menurut sejarahnya, Adat Perpatih berasal dari Pagar Ruyung Minangkabau, Sumatera Barat, Indonesia. Di namakan Adat Perpatih sempena nama orang yang menyusun dan membuat peraturan adat tersebut. Adat Perpatih di bawa ke Negeri Sembilan oleh orang-orang Minangkabau yang merantau ke Tanah Melayu.


Menurut ceritanya, beratus tahun dahulu di Negeri Padang Luas, Pagar Ruyung Minangkabau ada dua orang adik beradik yang seibu tetapi berlainan bapa. Yang tua bernama Temenggong atau Datok Temenggong dan adiknya bernama Perpatih atau Datok Perpatih. Apabila keduanya sudah dewasa maka mereka pun merwarisi pemerintahan negeri Padang Luas.


Walaupun mereka adik beradik tetapi berbeza pendapat terutama dalam cara pemerintahan. Kerana perbezaan pendapat itu menyebabkan selalu terjadi perbalahan antara Datok Temenggong dengan adiknya Datok Perpatih. Untuk mengelak terjadinya pergaduhan maka negeri Padang Luas terpaksa di bahagi kepada dua pemerintahan. Datok Temengong memerintah di bahagian pesisir pantai manakala Datok Perpatih berkuasa di bahagian daratan. Dengan itu kawasan pemerintahan Datok Temenggong memakai adat yang disusun oleh Datok Temenggong (Adat Temenggong) manakala kawasan Datok Perpatih memakai adat yang di susun oleh Datok Perpatih ( Adat Perpatih.)


Antara Adat Temenggong dengan Adat Perpatih terdapat perbezaan terutama dalam soal pembahagian harta pusaka. Bagi Adat Temenggong, lelaki lebih banyak mendapat bahagia harta pusaka daripada perempuan manakala Adat Perpatih pula menyerahkan segala harta pusaka kepada anak perempuan.


Pada suatu hari anjing Datok Perpatih telah menggigit kaki Datok Temenggong. Akibatnya anjing itu telah dipukul oleh Datuk Temenggong sehingga mati. Ini menimbulkan kemarahan Datok Perpatih. Dia segera berjumpa Datok Temenggong.


"Bukankah peraturan dalam adat temenggong mengatakan , siapa menggigit dia kena gigit?" tanya Datok Perpatih kepada Datok Temenggong. Dia sebenarnya merujuk kepada adat Temenggong yang mengatakan sesiapa yang menggigit mesti dibalas dengan gigit juga.


"Memang benar!" jawab Datok Temenggong.


" Kenapa bila anjing menggigit kaki awak pukul sampai mati?. Sepatutnya bila anjing itu menggigit kaki awak maka awak gigit pula kaki anjing itu," balas Datok Perpatih.


Mendengar kata-kata itu, Datok Temenggong merasa marah lalu berlakulah cabar mencabar antara kedua-duanya. Untuk mengelakkan sengketa itu berpanjangan maka keduanya bersetuju meninggalkan negeri Padang Luas untuk membuka negeri baru.


Maka Datok Perpatih dan Datok Temenggong pun menyediakan bahtera masing-masing untuk belayar meninggalkan negeri Padang Luas. Konon ceritanya, bahtera Datok Temenggong selamat dilancarkan ke laut dan terus belayar. Manakala bahtera Datok Perpatih tidak mahu dilancarkan ke laut. Walupun rakyat jelata di suruh beramai-ramai menolak bahtera itu namun tidak juga dapat bergerak.


Pada malamnya Datok Perpatih bermimpi bahtera yang bernama "Geliong Panjang " itu tidak dapat dilancarkan kerana telah diduduki oleh "Jin Sakti Muno". Untuk melancarkannya maka terpaksalah digalangkan di bawah bahtera itu seorang perempuan yang mengandung sulung (bunting sulung).


Maka pada keesokan harinya Datuk Perpatih menyuruh orang-orangnya mencari perempuan yang bunting sulung. Setelah puas mencari diserata negeri Padang Luas itu maka akhirnya didapati hanya ada dua orang sahaja yang sedang bunting sulung iaitu anak Datok Perpatih sendiri dan anak saudaranya yaang bernama Puteri Seri Banun. Adapun Puteri Seri Banun seorang yang baik hati dan sanggup berkorban dengan menawarkan dirinya menjadi penggalang kepada bahtera bapa saudaranya.


Mengikut cerita selanjutnya, Puteri Seri Banun yang sedang bunting sulung itu pun di baringkan di bawah bahtera itu sebagai penggalangnya. Kemudian orang ramai menolak bahtera itu ke air. Tetapi dengan takdir Tuhan, ketika bahtera itu ditolak oleh orang ramai maka satu keajaipan berlaku dimana bahtera itu terangkat sendiri lalu masuk ke dalam laut. Ada yang percaya Jin Sakti Muno yang mengangkat dan menolak bahtera itu ke laut kerana syarat telah dipenuhi.. Dengan ini terselamatlah Puteri Seri Banun dari menjadi korban bahtera tersebut. Dan sebaik sahaja bahtera itu berjaya dilancarkan maka Seri banun pun melahirkan seorang anak lelaki lalu di beri nama Batin menggalang.


Setelah lama belayar akhirnya Datok Perpatih sampai ke Negeri Sembilan lalu mereka pun mencari kawasan yang sesuai untuk membuka negeri. Setelah perkampungan baru berjaya diwujudkan maka Datok Perpatih telah menyusun semula adat perpatih untuk disesuaikan dengan keadaan setempat. Antara peraturan baru yang diguna pakai oleh Adat Perpatih ialah segala harta pesaka hendaklah diserahkan kepada anak perempuan. Ini sebagai mengenang jasa Seri Banun yang sanggup menjadi penggalang bahtera Datok Perpatih.


berkorban untuk bapa saudaranya Datok Perpatih.


Di Negeri Sembilan terdapat 12 suku-suku atau keluarga.


Suku-suku tersebut seperti berikut:




  1. Suku Biduanda (dondo)

  2. Batu Hampar (Tompar)

  3. Paya Kumbuh (Payo Kumboh)



  4. Mungkal



  5. Tiga Nenek



  6. Seri Melenggang (Somolenggang)



  7. Seri Lemak (Solomak)



  8. Batu Belang



  9. Tanah Datar



  10. Anak Acheh



  11. Anak Melaka



  12. Tiga Batu


Ini dinyatakan dalam sebuah gurindam yang berbunyi:


Raja beralam
Penghulu berluak
Lembaga berlingkungan
Buapak beranak buah
Anak buah duduk bersuku-suku
Berapa sukunya?
Dua Belas!



8.ASAL NAMA MINANGKABAU
Minangkabau itu berasal dari dua perkataan iaitu "Minang" bermakna menang dan "kabau" bermakna kerbau. Dengan itu Minangkabau bermakna "Menang Kerbau" atau Kerbau Menang.


Menurut ceritanya, pada suatu hari Raja Nur Alam yang memerintah negeri Batu Putih di wilayah Sumatera Barat Indonesia, didatangi oleh Raja Kepulauan Jawa. Kerana menyangka kedatangan baginda bersama rombongannya itu berniat baik maka disambut dengan baik oleh rakyat jelata dan mereka terus dibawa mengadap Raja Nur Alam di istana.


" Kami datang hendak berperang," kata Raja Kepulauan Jawa sebaik sahaja mengadap Raja Nur Alam.


"Berperang?. Apa faedahnya?" titah Raja Nur Alam pula.
" Beta hendak memerintah negeri ini," jawab Raja Kepulauan Jawa pula.


Pada mulanya Raja Nur Alam tidak mengendahkan cabaran itu kerana baginda tidak suka berperang sebaliknya ingin menjalin persahabatan dengan Raja Kepulauan Jawa itu. Tetapi Raja Kepulauan Jawa masih tidak berpuas hati dan cabaran demi cabaran telah diajukan kepada Raja Nur Alam supaya mereka berperang. Akhirnya Raja Nur Alam tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa menyahut cabaran tersebut.


" Siapkan segala kelengkapan kerana Kita terpaksa berperang dengan Raja Kepulauan Jawa," titah Raja Nur Alam kepada pembesar istana.


" Kalau kita berperang yang menang akan jadi arang dan yang kalah akan jadi abu," kata Tok Perpatih, Bendahara Raja Nur Alam.


" Apa yang mesti kita lakukan?" tanya Raja Nur Alam.


Maka Tok Perpatih pun mencadangkan supaya diadakan pertandingan melaga kerbau antara kerbau raja kepulauan jawa dengan kerbau Raja Nur Alam.


" Pemilik kerbau yang kalah mesti tunduk kepada pemilik kerbau yang menang," kata Tok Perpatih mencadangkan.


Raja Kepulauan Jawa bersetuju dengan cadangan itu lalu baginda pun menyediakan seekor kerbau betina yang besar dan garang. Baginda berasa amat yakin akan beroleh kemenangan tanpa payah berperang.


Untuk menentang kerbau Raja Kepulauan Jawa itu maka Raja Nur Alam telah memerintahkan orang-orang baginda mencari kerbau yang sama besarnya dengan kerbau pihak lawan tetapi tidak berjaya mendapatkannya. Akhirnya Tok Perpatih mencadangkan supaya mereka membuat muslihat untuk menewaskan kerbau raja kepulauan Jawa itu.


Mereka menyediakan seekor anak kerbau dan anak kerbau itu dibiarkan kelaparan dan kehausan semalaman. Kemudian anak kerbau itu dipasangkan tanduk yang diperbuat dari buluh runcing yang disapukan racun di hujungnya.


Maka pada hari yang ditetapkan maka berkumpullah orang ramai di satu kawasan lapang untuk menyaksikan pertandingan laga kerbau antara kerbau Raja Kepulauan Jawa dengan kerbau Raja Nur Alam. Raja Kepulauan Jawa dan orang-orang baginda bergelak ketawa bila melihat kerbau kepunyaan Raja Nur Alam yang sangat kecil berbanding kerbau kepunyaan mereka.


Bila pertandingan di mulakan maka kerbau Raja Kepulauan Jawa dilepaskan dulu di tengah gelanggang kemudiannya barulah dilepaskan kerbau kepunyaan raja Nur Alam. Sebaik saja dilepaskan maka anak kerbau yang kehausan dan kelaparan itu meluru ke arah kerbau betina kerana menyangka itu adalah ibunya.


Anak kerbau itu terus menyusup ke bawah perut kerbau betina kepunyaan Raja Kepulauan Jawa dan terus menyondolkan kepalanya kerana hendak menyusu dan ini menyebabkan perut kerbau itu terluka. Apabila kerbau kepunyaan Raja Kepulauan Jawa rasa sakit maka ia pun melariakn diri tetapi terus dikejar oleh anak kerbau yang kehausan itu dan setiap kali anak kerbau itu menyurungkan kepalanya ke bawah perut kerbau betina itu maka setiap kali terluka dan akhirnya kerbau kepunyaan Raja Kepulauan Jawa itu pun mati. Dan kerbau kepunyaan Raja Nur Alam diistiharkan sebagai pemenang. Raja Kepulauan Jawa berasa malu lalu berangkat pulang ke negerinya.


Peristiwa "menang kerbau" itu telah menyelamatkan negeri Batu Putih yang diperintah oleh Nur Alam dari ditakluki oleh Raja Kepulauan Jawa.


Untuk memperingati peristiwa bersejarah tersebut maka Raja Nur Alam menamakan negeri itu minangkabau yang berarti "Menang kerbau". Raja Nur Alam juga menyuruh rakyat mendirikan rumah yang mana bentuk bumbungnya melengkung seperti tanduk kerbau. Sejak itu negeri Batu Putih bertukar nama Minangkabau dan rumah yang bumbungnya seperti tanduk kerbau masih kekal hingga ke hari ini.



9. KUDIN PAHLAWAN REMBAU



Pada zaman dahulu di Rembau ada seorang pahlawan bernama Kudin. Dia berasal dari Pagar Ruyung Minangkabau.Kabarnya Pahlawan Kudin sangat gagah perkasa sehingga buaya di Sungai Rembau pun takut kepadanya.


Pada suatu hari Pahlawan Kudin pergi menangkap ikan di Sungai Rembau. Dengan mengayuh sebuah sampan maka dia pun menyusur sepanjang sungai tersebut. Dia juga membawa sebilah lembing dan kononnya dia sangat pandai bermain lembing. Senjata ampuhnya itu di bawanya ke mana sahaja dia pergi.


Entah kenapa malangnya nasib Pahlawan Kudin hari itu kerana seekor ikan pun tidak didapatnya. Namun dia masih tidak berputus asa. Dia terus juga mendayung sampannya sehingga hari pun hampir senja.


Dalam perjalanan pulang ke rumahnya Pahlawan Kudin ternampak seekor buaya sedang menggigit seekor ikan sebesar batil. Dia mendekati buaya itu lalu berkata dengan garang.


" Lepaskan ikan itu jika tidak aku benamkan mata lembing ini di tengkuk engkau!"


Mendengar kata-kata itu maka dengan perlahan-lahan buaya itu melepaskan ikan dari mulutnya lalu menyelam ke dalam sungai. Maka pahlawan Kudin pun mengambil ikan itu lalu di bawa pulang ke rumahnya.


Peristiwa Pahlawan Kudin berjaya merebut seekor ikan dari mulut buaya di Sungai Rembau segera merebak di kalangan masyarakat di sepanjang sungai tersebut. Maka adalah diantara mereka yang sakit hati dan dengki.


Pada suatu hari Pahlawan Kudin pergi ke hutan mencari rotan. Dia pergi seorang diri sahaja dan pemergian pahlawan itu diekori oleh beberapa orang lelaki yang bertujuan hendak memenggal kepalanya. Ketika itu sesiapa yang dapat memenggal leher musuh amat disanjung tinggi oleh masyarakatnya.


Pahlawan Kudin sedar dia sedang di ekori oleh beberapa orang lelaki yang ingin memenggal kepalanya. Tetapi dia buat tidak peduli dengan harapan musuh-musuhnya akan mendekatinya. Sebaik sahaja dia di kepung maka Pahlawan Kudin mengerat rotan sepanjang dua depa lalu melibasnya ke kiri dan ke kanan dengan laju. Akibatnya orang-orang yang terkena libasan rotan berduri itu ramai yang mati.


Pahlawan Kudin hanya membiarkan seorang sahaja yang hidup untuk menceritakan peristiwa itu kepada orang ramai. Maka nama Pahlawan Kudin sebagai seorang yang gagah perkasa merebak kemana-mana. Kisah kegagahan Pahlawan Kudin yang berjaya merebut ikan dari mulut buaya dan berjaya membunuh musuh-musuhnya hanya dengan sebilah rotan menjadi buah mulut di kalangan masyarakat Rembau.


Akibatnya Pahlawan Kudin mula lupa diri. Dia mula bersikap panas baran pantang rasa tercabar diajaknya berkelahi. Maka ramailah orang yang menjadi mangsanya. Ada yang mati dibunuh dan ada pula yang cedera. Kejahatan pahlawan Kudin itu semakin menjadi-jadi sehingga dia berani mencabul isteri orang yang berkenan di hatinya.


Maka penduduk kampung pun berbincang mencari jalan untuk menghentikan kejahatan pahlawan Kudin. Dan akhirnya mereka mendapat kata sepakat.


Setiap pagi Pahlawan Kudin akan mandi di Sungai Rembau. Dan sebelum mandi dia akan memanjat pokok kayu bakau ditebing sungai itu lalu terjun ke dalam sungai. Kononnya itulah petua kegagahannya.


Beberapa orang penduduk kampung memacakkan buluh runcing di dalam sungai tempat Pahlawan Kudin terjun. Dan esok paginya seperti biasa Pahlawan Kudin memanjat pokok Bakau itu lalu terjun ke dalam sungai. Dan sebaik sahaja dia terjun maka kedengaran bunyi jeritan yang sangat kuat kerana dia terkena buluh runcing yang di pacakkan di dalam sungai.


Kabarnya Pahlawan Kudin tidak mati sebaliknya dia menjadi buaya di Sungai Rembau. Kononnya sejak itu orang-orang Rembau tidak berani mandi atau menjala ikan di sungai tersebut.



10.PUTERI PUCUK KALUMPANG
(Cerita rakyat Minangkabau)



Pada suatu masa dahulu di negeri Minangkabau ada seorang bangsawan bernama Serial. Wataknya lurus bendul dan segala keputusan yang dibuat dipengaruhi oleh dua orang pembantunya yang bernama Lesamana dan Pedanelam.


Suatu hari kedua pembantunya itu mengajak tuannya pergi ke Pulau Pinang, sebuah pekan di Minangkabau,untuk menguruskan perniagaan. Pada mulanya bangsawan Serial tidak setuju kerana isterinya sedang sarat mengandung dan menunggu masa untuk melahirkan.


" Anak bila-bila boleh dapat sebab tuan mempunyai empat orang isteri. Tetapi harta yang akan tuan dapat di Pulau Pinang nanti bukan mudah mendapatnya," pujuk Pedanelan.


" Betul kata sahabat hamba Pedanelan," kata Lesamana pula menyokong. " Lagipun firasat hamba mengatakan anak tuan yang akan lahir itu seorang perempuan."


" Lelaki atau perempuan sama saja," balas Bangsawan Serial.


" Kalau anak lelaki membawa tuah kepada tuan tetapi kalau anak perempuan membawa celaka. Harta tuan akan dihabiskannya," jawab Lesamana.


Bangsawan Serial percaya dengan kata-kata pembantunya. Maka sebelum berangkat ke Pulau Pinang dia pun berpesan kepada isterinya.



" Kalau yang lahir nanti anak lelaki biarkan hidup. Tetapi kalau anak perempuan hendaklah di bunuh," Pesan Bangsawan Serial kepada isterinya.


Setelah sampai masanya maka isteri bangsawan itu pun melahirkan seorang anak perempuan yang sungguh comel. Dia merasa susah hati bila teringatkan pesanan suaminya jika melahirkan anak perempuan mestilah dibunuh.


Isteri Bangsawan itu tidak sampai hati hendak membunuh anak yang dilahirkannya dan dia terus memelihara anak itu sehingga pandai berjalan. Dan apabila mendapat kabar suaminya akan balik dari berniaga maka isteri bangsawan itu merasa susah hati.
Setelah lama berfikir akhirnya isteri bangsawan itu mendapat satu akal untuk menyembunyikan anak kesayangannnya itu di dalam hutan yang tidak jauh dari rumahnya. Setelah membungkus pakaian dan menyediakan bekalan makanan dan air maka anak itu dibawanya ke dalam hutan.


Kebetulan di hutan itu ada sebatang pokok Gelumpang yang rendang dan sentiasa mengeluarkan buah. Maka isteri bangsawan itu membuat sebuah pondok di atas pokok itu lalu meninggalkan anaknya di situ.


Kemudian dia membunuh seekor kambing lalu di lumurkan baju anaknya dengan darah kambing itu dan bangkai kambing itu di tanam di belakang rumah. Apabila suaminya balik lalu bertanya dimana anak yang dilahirkan oleh isterinya. Jawab isterinya anak perempuan yang dilahirkannya sudah dibunuhnya dan sebagai bukti ditunjukkan baju yang masih ada kesan darah. Dia juga menunjukkan dimana tempat anaknya ditanam.



Pada mulanya Bangsawan Serial hampir percaya dengan kata-kata isterinya tetapi di hasut oleh dua pembantunya.


"Elok kita pastikan adakah yang di tanam itu mayat anak tuan. Mungkin isteri tuan menipu supaya anak itu boleh terus hidup," hasut pembantunya.


Bangsawan itu pun menggali tanah tersebut dan alangkah marahnya dia bila mendapati yang di tanam itu ialah seekor kambing.


" Di mana anak itu awak sembunyikan atau awak aku bunuh," ugut bangsawan kepada isterinya.


Dengan penuh ketakutan isteri bangsawan mengatakan anak mereka bersembunyi di atas pokok Gelumpang. Maka bangsawan Serial menyuruh isterinya membawa budak perempuan itu balik ke rumah untuk di bunuh. Maka isteri bangsawan itu pun pergilah ke pokok Gelumpang lalu menyeru anaknya supaya turun untuk di bawa pulang ke rumah.


" Ayah kamu dah pulang dan dia ada bawakan emas dan cucuk sanggul untuk kamu," pujuk isteri bangsawan itu.
pada mulanya budak perempuan itu percaya dan bercadang hendak turun tetapi di pujuk oleh seekor beruk yang menjaganya selama dia berada di pokok itu.


" Jangan percaya cakapnya kerana dia bencikan kamu sebab itu di buangnya kamu di hutan ini," kata beruk itu.
Maka budak perempuan itu pun berkata. " Wahai
Ibuku, Saya sedang menanam pokok kapas. Tunggulah pokok itu tumbuh dulu baru saya balik ke rumah."


Mendengar jawapan anaknya maka isteri bangsawan itu pun pulang ke rumah memberitahu suami akan jawapan anak perempuan mereka.


" Baiklah, minggu depan awak bawa dia pulang ke rumah," kata Bangsawan Serial.


Bila genap satu minggu maka Bangsawan Serial menyuruh isterinya membawa anak perempuan mereka balik ke rumah untuk dibunuh. Maka pergilah isterinya masuk ke hutan dan bila sampai di pangkal pokok Gelumpang maka dia pun berseru kepada anaknya.


" Turunlah anakku. Ayahmu sudah balik dari pulau pinang membawa emas dan rantai kaki untukmu," kata isteri bangsawan itu.


" Tunggulah dulu wahai ibuku sehingga pokok kapas yang saya tanam berbuah," jawab anaknya maka pulanglah si ibu dengan rasa hampa.


Setelah beberapa lama kemudian bangsawan itu
Menyuruh isterinya menjemput anak mereka balik ke rumah kerana yakin pokok kapas yang di tanam oleh anak sudah berbuah.


" Tunggulah dulu sehingga saya memetik semua buah kapas itu," kata anaknya.Dan sekali lagi isteri bangsawan pulang dengan perasaan hampa.


Tidak berapa lama kemudian bangsawan menyuruh isterinya memanggil anaknya pulang. Tetapi di jawab oleh anak perempuan itu tunggulah dulu sehingga kapas yang di petiknya menjadi benang. Dan sekali lagi isteri Bangsawan itu pulang dengan perasaan hampa.


Tidak lama kemudian bangsawan menyuruh isterinya memanggil anak mereka pulang dengan amaran kali ini adalah kali yang penghabisan. Dengan hati yang amat sedih isteri bangsawan itupun masuk ke hutan untuk memujuk anaknya pulang ke rumah.
Sampai di pangkal pokok Gelumpang maka dia pun berseru.
" Wahai anakku, marilah pulang ke rumah. Ayahmu menunggu dia ada bawakan emas dan gelang tangan untukmu."


" Tunggulah dulu saya sedang menenun baju untuk ayah," jawab anak perempuan itu. Maka baliklah isteri bangsawan itu ke rumah dengan hampa.


" Kali ini aku sendiri akan menjemput budak sial itu," kata bangsawan dengan perasaan marah


Bangsawan itu menyuruh pembantunya membuat sumpitan. Apabila siap dia menyuruh isterinya mencelup anak sumpitan itu dengan racun. Tetapi isterinya menggantikan racun itu dengan air biasa supaya sumpitan itu tidak berbisa.


Esoknya bangsawan itu masuk ke hutan bersama isterinya. Apabila sampai di pokok Gelumpang bangsawan bersembunyi di dalam semak yang berhampiran lalu menyuruh isterinya memujuk anaknya turun.


" Baiklah ibuku. Saya akan turun sebab baju ayah yang saya tenum sudah siap," jawab anaknya sambil menuruni tangga yang dibuat pada pangkal pokok Gelumpang itu.


Ketika kaki budak perempuan itu memijak anak
tangga pertama maka bangsawan Serial pun meniup sumpitan lalu mengenai telinga anaknya.


" Wahai ibuku, apa ada di telinga saya?," tanya budak perempuan itu.


" Itulah anting-anting emas hadiah dari ayah kamu," jawab ibunya.


Bila anak perempuan itu memijak tangga ke dua sekali lagi bangsawan itu meniup sumpitan ke arah anaknya dan mengenai leher.



" Wahai ibuku, apa ada di heler saya?" tanya anak perempuan itu.


" Itulah rantai hadiah dari ayah kamu," jawab ibunya.


Ketika anak itu memijak anak tangga yang ke empat maka bangsawan menyumpit lagi lalu mengenai pergelangan tangan budak perempuan itu.


" Wahai ibuku, apa ada di pergelangan tangan saya." Tanya budak perempuan itu.


"Itulah gelang emas pemberuian ayah kamu." Jawab ibunya.


Dan begitulah seterusnya setiap kali budak perempaun itu memijak anak tanggag sebuah anak sumpitan mengenai badanhya. Sehinggalah dia sampai ditanah.


Bangsawan Serial berasa hairan kerana anak sumpitan itu tidak membunuh anaknya. Dan dia bertambah hairan bila melihat anak sumpitan yang hinggap di tubuh budak perempuan itu bertukar menjadi emas. Maka timbul perasaan tamak di hati bangsawan itu lalu hendak merampas barang-barang kemas tersebut. Dia keluar dari semak lalu menghunus pedang hendak memancung leher anaknya.


" Tunggu dulu ayah!" jerit anaknya.


" Kenapa," tanya bangsawan itu.


" Ayah jangan bunuh saya. Ambillah semula barang-barang
yang ayah berikan ini," kata budak perempuan itu lalu menanggalkan semua barang-barang kemas di badannya.


Setelah menanggalkan semua barang kemas di badannya dan menyerahkan kepada ayahnya maka budak perempuan itu naik semula ke pokok Gelumpang dan sejak itu dia tidak mahu turun lagi. Akhirnya budak perempuan itu di namakan Puteri Pucuk Gelumpang.


Adapun Bangsawan Serial merasa menyesal kerana terlalu percaya kepada hasutan pembantunya.




11. PUTERI HIJAU



Pada abad ke 15, di daerah Deli, Sumatera ada sebuah kerajaan bernama Gasip. Jajahannya hingga sampai ke Aru dan Rokan. Kerajaan Gasip selalu mendapat ancaman dari kerajaan Aceh yang ketika itu amat masyhur. Untuk mengelakkan terjadinya peperangan dengan kerajaan Aceh maka ibu kota kerajaan Gasip dipindahkan ke suatu tempat bernama Deli Tua. Ketika itu yang memerintah Deli ialah Sultan Sulaiman. Ketika mangkat baginda meninggalkan tiga orang anak. Yang sulung bernama Mambang Yazid, yang kedua bernama Puteri Hijau dan yang ketiga bernama Mambang Kiyai.
Puteri Hijau seorang anak gadis yang amat cantik wajahnya. Di namakan Puteri Hijau kerana dari tubuhnya selalu memancarkan cahaya berwarna hijau pada waktu bulan purnama sedang mengambang. Dan biasanya setiap kali bulan mengambang Puteri Hijau akan keluar bermain-main di halaman istana dan ramailah rakyat Deli yang berkumpul melihat Puteri Hijau sedang bermain-main.
Pada suatu malam ketika bulan purnama sedang mengambang, Sultan Mukhayat Syah, iaitu Sultan Aceh sedang beristirehat di anjung istana. Tiba-tiba baginda melihat cahaya hijau dari sebelah Timur. Baginda memanggil pegawai istana bertanyakan cahaya apakah yang berwarna hijau itu. Namun tidak siapa yang dapat menjelaskannya.


Pada keesokan harinya Sultan mengarahkan bendahara pergi menyiasat ke tempat munculnya cahaya hijau itu. Dan setelah dilakukan siasatan tahulah baginda cahaya itu memancar dari tubuh Puteri Hijau anak Sultan Deli.


Sultan Mukhayat Shah lalu jatuh cinta kepada Puteri Hijau walaupun baginda tidak pernah berjumpa. Kerana tidak tertahan menanggung rindu maka Sultan menghantar utusan untuk meminang Puteri Hijau. Namun pinangan baginda ditolak oleh Puteri Hijau dengan alasan dia tidak akan berkahwin dengan musuh ayahnya.
Sultan Aceh merasa terhina dengan penolakan pinangan itu lalu menghimpunkan bala tentera untuk menyerang kerajaan Deli. Rakyat Deli Tua membuat persiapan untuk menentang serangan orang-orang Aceh. Maka berlakulah pertempuran yang hebat diantara kedua belah pihak yang mana sama-sama kuat. Akibatnya ramailah yang mati.
Sultan Mukhayat Shah akhirnya mendapat satu akal untuk mengalahkan bala tentera rakyat Deli Tua yang berkubu dalam rumpun-rumpun buluh. Baginda memerintahkan askarnya menembakkan peluru duit ke dalam kubu musuh. Apabila rakyat Deli Tua melihat duit berterbangan ke kubu mereka maka mereka pun berebut-rebut untuk memungut duit yang bertaburan itu. Ketika itulah tentera Acheh menyerbu dan berjaya mengalahkan mereka.
Menyedari mereka sudah kalah dan Puteri Hijau akan menjadi tawanan Sultan Mukhayat Shah maka Mambang Yazid iaitu abang kandung Puteri Hijau berpesan kepada adiknya supaya mengemukan beberapa syarat kepada Sultan Aceh.


Antara syaratnya ialah, Sultan Aceh tidak boleh menyentuh tubuh Puteri Hijau sebelum memijakkan kaki di tanah Acheh. Syarat kedua, Puteri Hijau hendaklah di masukkan ke dalam peti kaca untuk di usung sepanjang perjalanan ke Acheh. Dan syarat ketiga, apabila sampai di pantai Acheh, maka setiap orang rakyat Aceh hendaklah membawa persembahan berupa sebiji telur ayam dan segenggam bertih. Persembahan itu hendaklah dilonggokkan di tepi pantai sebelum Puteri Hijau keluar dari peti kaca.


Kerana merasa cinta maka baginda bersetuju dengan syarat yang diberikan oleh Puteri Hijau. Maka dibuatlah sebuah peti kaca dan apabila siap maka Puteri Hijau masuk ke dalam peti kaca lalu diusung ke dalam kapal untuk dibawa belayar ke negeri Acheh.
Apabila tiba di pelabuhan Acheh maka baginda memerintahkan semua rakyat keluar membawa persembahan iaitu seorang sebiji telur ayam dan segenggam bertih. Semua persembahan itu dilonggokkan di tepi pantai.
Sebaik saja persembahan sudah dilonggokkan di tepi pantai maka Puteri Hijau pun keluar dari peti kaca lalu membakar kemenyan. Apabila asap kemenyan itu berkepul-kepul naik ke udara maka Puteri Hijau pun menyeru nama abangnya Mambang Yazid.
Tiba-tiba hujan turun dengan lebat diiringi ribut petir yang dahsyat. Dari perut laut tiba-tiba muncul seekor ular naga yang amat besar lalu melibaskan ekornya hingga kapal Sultan Acheh pecah dua dan tenggelam bersama tentera Aceh.


Sultan Acheh memerintahkan rakyat membunuh ular naga itu namun tidak berjaya malah semakin ramai yang menjadi korban ular naga tersebut. Dalam keadaan kelam kabut itu Puteri Hijau masuk semula ke dalam peti kaca.


Ular naga menyambar peti kaca lalu di bawanya berenang ke tengah laut. Sultan Acheh tidak mampu merebut semula Puteri Hijau dari mulut naga . Baginda termenung panjang menyesali nasibnya kerana Puteri Hijau yang sudah berada dalam genggaman baginda dapat dilarikan oleh seekor ular naga.



 




12.RAJA TIKUS


(Cerita rakyat orang asli Jelebu)



Pada suatu hari, berkumpullah semua binatang di hutan untuk mengadakan mesyuarat melantik raja di kalangan mereka.


" Semua makhluk di dunia ini mempunyai raja. Kita juga mesti ada raja," kata Sang Kancil sambil mencadangkan dia dilantik menjadi raja.


" Aku yang lebih layak menjadi raja kamu!" kata Gajah pula kerana merasa dirinya yang lebih layak kerana badannya besar dan kuat.


" Kuat tidak berguna kalau akal tidak bijaksana," balas Sang Kancil kerana menyangka dialah yang paling bijaksana.


" Kuat dan bijaksana tidak berguna kalau tidak cantik," Sang Harimau pula menyampuk dengan harapan dia akan dipilih menjadi raja kerana bulunya yang cantik berbelang-belang.


" Selain dari Gajah, Sang Kancil dan Harimau, ada calon lain?" tanya tikus pula.


" Kami cadangkan supaya tikus menjadi raja kerana muncungnya panjang macam babi, kakinya ada tapak macam kaki itik, bulunya kasar dan hitam. Tikus juga pantas berlari," kata ular mencadangkan.


" Sekarang ada empat calon yang menawarkan diri menjadi raja iaitu Gajah, Harimau, Sang Kancil dan Tikus. Siapakah yang paling layak kita lantik menjadi raja?" tanya beruk pula yang merasa agak kecil hati namanya tidak dicalonkan.



Akhirnya binatang-binatng itu mencapai kata sepakat akan di adakan perlawanan siapa yang menang maka dia akan dilantik menjadi raja. Gajah disuruh berlawan dengan Sang Kancil manakala Harimau berlawan dengan Tikus. Sang Kancil yang merasa dirinya tidak ada harapan untuk menang lalu menarik diri untuk berlawan dengan Gajah.


" Elok tikus juga menarik diri," kata Harimau dengan sombong.


" Tidak!" jawab tikus lalu mencabar harimau berlawan.


Dengan garang Harimau menerkam tetapi tikus berjaya melarikan diri lalu menyusup di celah banir kayu dan harimau tidak berjaya mencarinya. Apabila rasa penat dan haus harimau ke sungai untuk minum dan berehat. Maka Tikus pun datang lalu berkata.


" Dalam sungai ini banyak ikan. Siapa diantara kita yang mula-mula dapat menangkap ikan maka dialah yang menang."


" Setuju…!" kata Harimau gembira kerana yakin boleh menang mudah.


Setelah semua binatang berkumpul di tebing sungai maka Keduanya pun terjun dan sebaik sahaja berada dalam air maka tikus berpura-pura tidak pandai berenang. Dia kelihatan tercungap-cungap sambil meminta tolong. Kerana terpedaya dengan tipu helah Tikus maka Harimau lupa mencari ikan sebaliknya asyik mentertawakan tikus yang kelihatan timbul tenggelam.


Melihat harimau sudah leka maka tikus terus menyelam dan berjaya menangkap seekor ikan lalu di bawa ke tebing sungai. Semua binatang bertepuk tangan tapi harimau menyangka mereka bersorak meraikan kemenangannya. Akhirnya setelah tikus di isytihar sebagai pemenang barulah Harimau menyesal kerana terpedaya dengan tipu helah Tikus.



Kemudian Tikus berlawan pula dengan Gajah. Kerana menyangka lebih kuat dan besar badannya maka Gajah mengambil jalan mudah. Gajah membaringkan badannya di atas tanah sambil berkata:


" Aku tidak perlu berdiri, cukup dengan berbaring saja,"kata Gajah dengan sombongnya.


Tikus memukul badan Gajah tetapi tidak berjaya menyakitinya. Tikus menggigit badan Gajah tetapi kulitnya tebal dan tidak berjaya melukainya. Tikus menjadi marah bila Gajah mentertawakannya.


Akhirnya Tikus mendapat satu akal. Dengan pantas Tikus masuk ke telinga Gajah. Gajah merasa cemas lalu berdiri sambil menghentak-hentakkan kakinya. Tikus yang merasa takut lalu menggigit gegendang telinga Gajah sekuat-kuatnya. Sambil menjerit kesakitan Gajah berlari ke sana sini hingga terlanggar banir kayu dan masuk ke dalam paya. Akhrnya, kerana tidak dapat menahan kesakitan Gajah mengaku kalah dan Tikus diisytiharkan sebagai pemenang lalu dilantik menjadi raja.


Setelah menjadi raja maka timbul rasa bongkak dan sombong dihati Raja Tikus. Dia merasa dirinya paling istimewa tambahan pula binatang lain tunduk dan hormat kepadanya. Segala arahan Raja Tikus dipatuhi oleh semua binatang di hutan itu.


Diantara binatang itu, Babi yang paling merasa benci kepada Raja Tikus dan berusaha untuk menjatuhkannya. Babi menghasut rakyat supaya memberontak. Namun hasutan babi tidak diendahkan oleh binatng lain kerana mereka sudah sebulat suara melantik Tikus menjadi raja mereka. Namun Babi tidak putus asa. Dia mencari ikhtiar lain untuk menjatuhkan Raja Tikus. Akhirnya Babi mendapat satu akal. Maka pada suatu hari Babi mengadap Raja Tikus.


" Rakyat tidak puas hati dengan pemerintahan tuanku. Jika tuanku berdiam diri rakyat akan memberontak dan menggulingkan tuanku," kata Babi pura-pura menunjuk taat setianya kepada Raja Tikus.


Pada mulanya Raja Tikus tidak percaya tetapi apabila Babi terus menghasut akhirnya baginda terpengaruh juga.


" Apa fikiran kamu?" tanya Raja Tikus.


" Tuanku mesti buat rakyat sentiasa sibuk bekerja sehingga tidak ada masa untuk memikirkan hal tuanku," jawab Babi sambil menghasut Raja Tikus.


Raja Tikus yang tidak tahu niat sebenar Babi pun memerintahkan rakyatnya melakukan berbagai kerja. Ada yang di suruh mengorek tanah kemudian menimbusnya semula. Ada yang disuruh menimba air sungai dan ada pula yang disuruh membersih semak belukar. Walupun penat dan rasa tidak puas hati dengan perintah Raja Tikus namun semua binatang itu terus juga melakukan kerja yang diperintahkan.


Dalam masa yang sama Babi menghasut rakyat supaya memberontak. " Kamu disuruh oleh Raja Tikus melakukan kerja yang sia-sia. Baginda memang zalim dan kita perlu menjatuhkan baginda," hasut Babi kepada rakyat.


Namun binatang-binatang itu masih tidak terpengaruh dengan hasutan babi.Mereka terus juga membuat kerja yang diperintahkan oleh Raja Tikus. Namun Babi masih tidak putus asa. Babi terus mencari ikhtiar untuk menimbulkan rasa benci rakyat kepada Raja Tikus.


" Patik cadang tuanku perintahkan rakyat membuat sebuah perahu yang besar dengan alasan tuanku hendak pergi belayar. Dengan ini rakyat akan sentiasa sibuk menebang kayu dan membuat perahu," kata Babi.


Raja Tikus yang tidak tahu muslihat Babi terus mempercayainya. Baginda pun memerintahkan rakyat membuat sebuah perahu yang cantik dan besar.


Maka semua binatang itupun bergotong royong siang dan malm mencari kayu untuk membuat sebuah perahu. Dan setelah berbulan-bulan lamanya maka siaplah sebuah perahu yang besar dan cantik lalu dipersembahkan kepada Raja Tikus. Raja Tikus kagum dengan perahu itu tetapi Babi membisikkan sesuatu ke telinga baginda.


" Perahu ini memang cantik tetapi terlalu besar. Beta hendak sebuah perahu yang lebih cantik dan lebih kecil dari perahu ini," titah Raja Tikus.


Maka sekali lagi binatang-binatang itu bergotong royong mencari kayu dan membuat sebuah perahu yang lebih cantik tetapi lebih kecil dari perahu yang pertama. Dan apabila sudah siap maka di persembahkan kepada Raja Tikus.


" Perahu ini memang lebih cantik dari perahu yang pertama tetapi masih teralu besar. Beta hendak perahu yang lebih kecil dari ini," titah Raja Tikus.


Begitulah yang dilakukan oleh Raja Tikus dalam usaha untuk melekakan rakyatnya. Apabila perahu siap maka baginda minta dibina sebuah perahu lagi yang lebih cantik dan lebih kecil. Binatang–binatang itu mula bersungut kerana letih bekerja siang dan malam. Namun titah raja dipatuhi juga. Akhirnya binatang itu membina sebuah perahu saiznya sebesar bilah mancis api. Dan perahu kecil itu dipersembahkan kepada Raja Tikus.


" Kamu angkat perahu yang kecil itu dan cungkil tahi gigi beta, " titah Raja Tikus.


Mendengar titah itu semua binatang menjadi marah kerana rasa sengaja dipermainkan oleh Raja Tikus. Maka binatang-binatang itu pun memberontak. Raja Tikus merasa takut dan cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap oleh rakyat. Raja Tikus diikat lalu dibaringkan ke tanah. Semua binatang melumurkan muntah dan tahi masing-masing ke badan Raja Tikus. Kerana itulah sampai sekarang badan tikus berbau busuk.


Sejak itu tikus mengasihgkan diri tidak berani keluar di waktu siang cuma keluar di waktu malam mencari makan. Tikus menyesal kerana mudah lupa diri apabila berkuasa. Tetapi paling dia marah kepada Babi yang telah berjaya menjatuhkan dia melalui tipu muslihat. Maka Tikus menyimpan dendam terhadap Babi.


Pada suatu malam sedang Tikus keluar mencari makanan, dia terserempak dengan Babi. Apa lagi Tikus pun mengejar babi yang cuba melarikan diri. Namun kemana sahaja Babi lari tikus berjaya mengekotinya sehingga Babi merasa penat dan tidak berdaya lagi melarikan diri.


Babi nampak sebuah lubang kecil dicelah banir kayu dan tanpa berfikir panjang terus memasukkan kepalanya ke situ. Tetapi cuma muat kepalanya sahaja sedangkan badannya di luar.


Oleh kerana terlalu marah tikus menggigit ekor Babi hingga putus. Sebab itulah sampai ke hari ini ekor Babi cuma tinggal puntung sahaja.



13.LAGENDA PULAU KEMARAU


(Cerita rakyat Minangkabau)



Pada suatu suatu masa dahulu, di tanah Minangkabau ada seorang gadis bernama Seri Ratu yang amat cantik paras rupanya. Maka ramailah pemuda Palembang yang terpikat dan ingin memperisterikannya namun tidak seorang pun yang berjaya. Ini kerana ayah Seri Ratu seorang bangsawan yang sangat kaya dan beliau memberi syarat sesiapa yang hendak mengahwini anaknya mestilah menyediakan mas kahwin sebanyak lapan tempayan penuh berisi emas.


Tanah Palembang ketika itu menjadi tumpuan para pedagang Cina dengan ini kisah kecantikan Seri Ratu sampai ke Tanah Besar Negeri China.
Kisah kecantikan Seri Ratu menarik perhatian seorang pemuda Cina. Walupun beliau belum pernah bertemu muka dan cuma mendengar kabar kecantikannya sahaja namun pemuda itu sudah jatuh cinta.


Maka pada suatu hari pemuda itu memberitahu ayahnya ingin ke Palembang untuk memperisterikan Seri Ratu. Kerana begitu kuat keinginan pemuda itu maka ayahnya bersetuju dan menyediakan lapan tempayan penuh berisi emas untuk diberikan kepada ayah Seri Ratu.
Pemuda Cina itupun menumpang sebuah kapal dagang menuju ke Palembang dan setelah sampai maka kapal itu berlabuh di sebuah tempat bernama Pulau Kemarau.


Untuk membawa lapan tempayan berisi emas itu ke rumah Seri Ratu, pemuda Cina itu terpaksa menaiki sebuah perahu melalui sungai Musi yang airnya dalam. Ketika sedang mendayung perahu tiba-tiba hujan lebat turun beserta ribut petir dan air Sungai Musi berarus deras lalu perahu itu terbalik dan lapan tempayan emas tenggelam dalam sungai. Tetapi pemuda Cina itu berjaya menyelamatkan diri berenang ke tebing sungai.


Walaupun kehilangan emas untuk dijadikan mas kahwin namun pemuda Cina itu tidak putus asa untuk memperisterikan Seri Ratu. Dia terus menuju ke rumah bangsawan dan meminta kebenaran untuk bertemu dengan Seri Ratu.


Kerana Palembang ketika itu baru sahaja menerima kedatangan Agama Islam maka hasrat pemuda Cina itu untuk bertemu Seri Ratu tidak dibenarkan oleh ayahnya. Namun pemuda Cina itu tidak berputus asa lalu menghantar wakil meminang gadis idamannya.
Pinangan pemuda Cina itu diterima tetapi dengan dua syarat pertama dia mesti memeluk Agama Islam dan kedua dia mesti menyediakan mas kahwin sebanyak lapan tempayan penuh berisi dengan emas.


Kerana sudah jatuh cinta dengan Seri Ratu maka pemuda cina itu saanggup memenuhi syarat yang diberikan. Dan setelah memeluk Agama Islam pemuda Cina itu menulis surat kepada ayahnya lalu menceritakan kisahnya dan meminta ayahnya mengirimkan lapan tempayan berisi emas.
Ayah pemuda cina itu sanggup memenuhi permintaan anknya maka dikirimlah lapan tempayan berisi emas. Kerana bimbang emas dalam tempayan itu di curi orang maka di masukkannya tauchu ke dalam tempayan itu agar orang tidak menyangka ada emas di dalamnya.


Apabila kiriman itu sampai kepada Pemuda Cina dia merasa amat kecewa kerana dilihatnya tempayan itu penuh dengan Tauchu bukan emas. Kerana merasa kecewa dan marah maka pemuda Cina membuang kesemua lapan tempayan itu ke dalam Sungai Musi.


Setelah pemuda Cina itu mendapat tahu dalam tempayan itu berisi emas maka dia merasa amat sedih lalu terjun ke dalam sungai dan tidak timbul lagi.


Apabila Seri Ratu mendapat tahu kisah pemuda cina itu yang sanggup terjun ke dalam Sungai Musi kerana berasa kecewa tidak dapat berkahwin dengannya maka dia merasa sedih. Seri Ratu akhirnya menuju ke Sungai Musi lalu terjun dan tidak timbul lagi.
Ramai yang percaya pemuda Cina dan Seri Ratu tidak mati tetapi bertukar menjadi buaya. Penduduk di Pulau Kemarau mendakwa selalu nampak dua ekor buaya putih muncul di permukaan sungai itu.


Orang-orang Cina di Palembang juga yakin dengan kisah tersebut dan apabila mereka merayakan pesta Cap Go Meh, ramai orang-orang Cina mengunjungi pulau kemarau untuk mengadakan berbagai pesta keramaian di pulau itu.



14. DENDAM TENGKU MELEWAR



Pada suatu hari datanglah tujuh orang utusan mengadap Raja Minangkabau di Istana Pagar Ruyung, Sumatera Barat. Mereka mewakili suku orang-orang asli dari Rembau, Sungai Ujung, Jelebu dan Johol.


" Apa tujuan kamu ke mari?" tanya Raja Minangkabau.
" Kami ingin bertuankan Raja Minangkabau dari pagar Ruyung," jawab ketua utusan tersebut dengan harapan orang-orang Bugis tidak akan menjajah kawasan mereka.
Raja Minangkabu bersetuju dengan permintaan tersebut dan berjanji akan menghantar salah seorang daripada lima orang putera baginda. Tetapi timbul masalah kerana kesemua lima putera Raja Minangkabu ingin menjadi raja di Tanah Melayu. Untuk mengelakkan terjadinya perkelahian maka baginda menyerahkan keputusannya kepada wakil utusan dari Tanah Melayu sendiri untuk membuat pemilihan siapa yang layak menjadi raja mereka. Setelah bermuafakat lalu utusan itu memilih yang paling tua di antara putera-putera raja itu.


Pemilihan itu menyebabkan putera-putera yang lain merasa tidak puas hati dan sakit hati kepada putera yang sulung. Salah seorang diantara mereka memasukkan santau iaitu sejenis racun ke dalam air minuman abangnya. Akibat terkena santau itu maka putera sulung Raja Minangkabau itu mati sebaik sahaja menjejakkan kakinya di Rembau.


Kemudian ketua suku kaum asli itu berunding sekali lagi lalu menghantar semula utusan ke Minangkabu untuk mencari pengganti putera baginda yang meninggal dunia.
Raja Minangkabau bersetuju dengan permintaan itu lalu memilih putera yang nombor dua untuk menjadi raja di Tanah Melayu. Sekali lagi pemilihan itu menimbulkan rasa sakit hati di kalangan putera-putera baginda lalu salah seorang diantara mereka memberikan santau itu kepada abangnya. Sebaik sahaja tiba di Rembau, putera nombor dua itu muntah darah lalu meninggal dunia sebelum sempat dilantik menjadi raja.


Sekali lagi ketua-ketua suku orang asli berkumpul serta menghantar utusan ke istana pagar Ruyung. Raja Minangkabau merasa sedih dengan apa yang menimpa kedua orang putera baginda. Supaya perkara itu jangan berulang sekali lagi maka kali ini baginda lebih berhati-hati.


Secara rahsia baginda memanggil putera kesayangan baginda yang bernama Tengku Aji lalu menghantarnya ke Tanah Melayu untuk menjadi raja. Dan apabila sampai di Rembau, ketua suku kaum asli memakaikan mahkota di kepala baginda. Kerana mahkota itu sesuai dipakai oleh Tengku Aji maka baginda pun dilantik menjadi raja dan bersemayam di Rembau. Mereka mendirikan sebuah istana tempat kediaman Tengku Aji di sebuah tempat bernama Kampung Ulu Seperi.


Berita Tengku Aji dilantik menjadi Raja di Tanah Melayu akhirnya sampai ke Minangkabau. Kekanda Tengku Aji yang bernama Tengku Tetoh merasa sakit hati kerana dia sepatutnya menjadi raja. Maka Tengku Tetoh berangkat ke Tanah Melayu dengan maksud hendak merampas kuasa dari adiknya. Apabila sampai di Rembau, Tengku Tetoh mendapat tahu adiknya Tengku Aji berada di Kampung Ulu Seperi lalu beliau bercadang hendak membunuhnya.
Berita kedatangan Tengku Tetoh ke Rembau sampai ke pengetahuan Tengku Aji. Baginda merasa tidak sedap hati lalu menyuruh isterinya yang ketika itu sedang sarat mengandung, melarikan diri ke tempat selamat.
" Bukankah lebih elok kalau kita sama-sama melarikan diri ke tempat selamat?" kata isteri baginda pula.


" Kekanda faham benar sikap Tengku Tetoh. Walau ke mana kita pergi akan dicarinya sampai dapat. Kerana itu elok adinda sahaja yang pergi kerana kekanda akan berdepan dengan dia." Jawab Tengku Aji.
Isteri Tengku Aji tidak ada pilihan melainkan menurut sahaja perintah suaminya lalu meninggalkan istana untuk melarikan diri ke tempat selamat.


Tidak lama kemudian datanglah Tengku Tetoh ke istana Tengku Aji lalu berlakulah perbalahan. Masing-masing mengaku berhak menjadi raja dan akhirnya berlakulah perkelahian. Dalam perkelahian itu Tengku Tetoh berjaya membunuh Tengku Aji lalu melantik dirinya menjadi raja.


Adapun isteri Tengku Aji yang melarikan diri akhirnya sampai ke sebuah kampung bernama Legong Hilir. Dia menumpang di rumah salah seorang penduduk kampung tersebut sehingga melahirkan seorang anak lelaki di beri nama Tengku Melewar.
Tengku Melewar seorang anak yang cerdik, tegap tubuh badannya dan tangkas pula. Tetapi dia selalu di ejek oleh kawan-kawannya ketika bermain kerana tidak mempunyai ayah. Maka Tengku Melewar bertanya kepada ibu siapakah ayahnya. Pada mulanya si ibu cuba merahsiakan kerana bimbang di bunuh oleh orang-orang Tengku Tetoh, namun setelah di desak akhirnya si ibu menceritakan segalanya. Apabila penduduk kampung itu tahu Sultan Melewar adalah putera Tengku Aji maka mereka menghormatinya dan tidak mengejek lagi.


Apabila umur Sultan Melewar meningkat sembilan belas tahun, baginda menjadi seorang yang hebat dan mahir bermain senjata. Maka timbul keinginan di hatinya untuk menuntut bela di atas kematian ayahnya.


Pada suatu hari Tengku Melewar mengumpulkan kawan-kawannya lalu mengajak mereka membantu membunuh Tengku Tetoh yang zalim itu. Bagai mengantuk disorong bantal, mereka bersetuju lalu menyiapkan peralatan senjata dan berangkat menuju ke istana Tengku Tetoh.


Ketika itu Tengku Tetoh sedang leka bermain catur. Dan menjadi kebiasaan ketika baginda sedang asyik bermain catur tidak boleh diganggu. Sesiapa yang cuba mengganggu akan dibunuhnya.
Panglima Besar dan panglima Perang, orang kepercayaan Tengku Melewar diarahkan ke istana untuk menyampaikan pesanan kepada Tengku Tetoh tentang kedatangan mereka untuk menuntut bela. Bagaimanapun mereka tidak dibenarkan mengadap oleh pengawal istana kerana Tengku Tetoh sedang asyik bermain catur dan tidak boleh diganggu.


Jawapan itu menimbulkan kemarahan kedua-dua panglima yang gagah perkasa itu lalu merempuh pintu istana dan berlakulah pertarungan. Dalam keadaan huru hara itu ketua pengawal istana terpaksa memberanikan diri mengadap Tengku Tetoh tetapi baginda tidak mengendahkannya. Baginda terus asyik bermain catur hingga tidak peduli keadaan huru hara yang berlaku di istana.
" Musuh menyerang, Tuanku!" beritahu ketua pengawal istana.
Tengku Tetoh menyangka pengawal itu memberitahu buah caturnya akan diserang oleh pihak lawan lalu baginda mengalihkan buah caturnya.


" Musuh menyerang dari depan, Tuanku," beritahu pengawal lagi. Tengku Tetoh segera mengalihkan buah caturnya ke belakang untuk menyekat buah catur lawannya.


" Musuh sudah berada di belakang, Tuanku!" jerit ketua pengawal istana.


" Buah catur beta dalam keadaan selamat," balas Tengku Tetoh.
Ketika itu Panglima Besar dan Panglima Perang sudah berdiri di belakang Tengku Tetoh.


" Kami datang hendak membalas dendam!" teriak Panglima Perang.
Tengku Tetoh menjadi murka kerana menyangka pengawal istana mengganggu baginda bermain catur. Maka Tengku Tetoh mencabut pedang lalu menghayun ke arah Panglima Besar tetapi berjaya dielak dan terjadilan pertarungan antara mereka.
" Biar beta yang membunuh Tengku Tetoh," teriak Tengku Melewar. Ketika itu baginda sudah naik ke istana.


" Siapa kamu?" tanya Tengku Tetoh hairan.
" Beta anak Tengku Aji yang kamu bunuh. Beta datang hendak membalas dendam," jawab Tengku Melewar.
Maka berlakulah pertarungan antara Tengku Tetoh dengan Tengku Melewar namun ternyata anak muda itu bukan tandingannya. Akhirnya Tengku Tetoh berjaya di bunuh oleh Tengku Melewar dan mayatanya dihanyutkan ke dalam Sungai Rembau. Kemudian Tengku Melewar dilantik menjadi raja.


Istana Tengku Tetoh di bakar dan sebuah istana baru di dirikan di Seri Menanti.


15. DATUK PERPATIH VS DATUK TEMENGGUNG



Menurut sejarahnya, Adat Perpatih berasal dari Pagar Ruyung Minangkabau, Sumatera Barat, Indonesia. Dinamakan Adat Perpatih sempena nama orang yang menyusun dan membuat peraturan adat itu. Ia dibawa ke Negeri Sembilan oleh orang-orang Minangkabau yang merantau ke Tanah Melayu.


Menurut ceritanya, beratus tahun dahulu di Negeri Padang Luas, Pagar Ruyung Minangkabau ada dua orang adik beradik yang seibu tetapi berlainan bapa. Yang tua bernama Temenggong atau Datok Temenggong dan adiknya bernama Perpatih atau Datok Perpatih. Apabila sudah besar mereka merwarisi pemerintahan negeri Padang Luas,Minangkabau.


Walaupun mereka adik beradik tetapi terdapat pertentangan dalam cara pemerintahan. Kerana perbezaan pendapat itu menyebabkan selalu belaku perbalahan antara Datok Temenggong dengan adiknya Datok Perpatih sehingga negeri Padang Luas terpaksa dibahagi kepada dua. Datok Temengong memerintah di bahagian pesisir pantai manakala Datok Perpatih berkuasa di bahagian daratan. Dengan itu kawasan pemerintahan Datok Temenggong memakai adat yang disusun oleh Datok Temenggong (Adat Temenggong) manakala kawasan Datok Perpatih memakai adat yang di susun oleh Datok Perpatih ( Adat Perpatih.)


Antara Adat Temenggong dengan Adat Perpatih terdapat perbezaan terutama dalam soal pembahagian harta pusaka. Bagi Adat Temenggong, lelaki lebih banyak mendapat bahagia harta pusaka daripada perempuan manakala Adat Perpatih pula menyerahkan segala harta pusaka kepada anak perempuan. Kenapa timbulnya perbezaan itu akan diceritakan nanti.


Kononnya pada suatu hari anjing Datok Perpatih telah menggigit Datok Temenggong lalu dipukulnya anjing itu dan ini menimbulkan kemarahan Datok Perpatih.


"Bukankah peraturan dalam adat temenggong mengatakan , siapa menggigit dia kena gigit?" tanya Datok Perpatih kepada Datok Temenggong.


"Memang benar!" jawab Datok Temenggong.


" Sepatutnya datok gigit anjing yang menggigit datok. Bukan dipukul," balas Datok Perpatih lalu mencabar peraturan adat yang dibuat oleh Datok Temenggong.


Akibatnya Datok Temenggong merasa marah lalu berlakulah cabar mencabar dengan Datok Perpatih. Untuk mengelakkan sengketa itu berpanjangan maka keduanya bersetuju meninggalkan negeri Padang Luas untuk membuka negeri baru.


Maka Datok Perpatih dan Datok Temenggong pun menyediakan bahtera masing-masing untuk belayar meninggalkan negeri Padang Luas. Konon ceritanya, bahtera Datok Temenggong selamat dilancarkan ke laut dan terus belayar. Manakala bahtera Datok Perpatih tidak mahu dilancarkan ke laut. Walupun rakyat jelata disuruh beramai-ramai menolak bahtera itu namun tidak juga dapat bergerak.


Pada malamnya Datok Perpatih bermimpi bahtera yang bernama "Geliong Panjang " itu tidak dapat dilancarkan kerana telah diduduki oleh "Jin Sakti Muno". Untuk melancarkannya maka terpaksalah digalangkan di bawah bahtera itu seorang perempuan yang mengandung sulung (bunting sulung).


Maka esoknya dicarilah perempuan yang bunting sulung di negeri Padang Luas tetapi cuma ada dua orang sahaja iaitu anak Datok Perpatih sendiri dan anak saudaranya bernama Puteri Seri Banun. Dengan kerelaannya sendiri Puterui Seri Banun menawarkan diri menjadi penggalang bahtera bapa saudaranya..


Mengikut cerita selanjutnya, maka Puteri Seri Banun yang sedang bunting sulung itu pun di baringkan di bawah bahtera itu sebagai penggalangnya. Tetapi dengan takdir Tuhan, ketika bahtera itu ditolak oleh orang ramai maka satu keajaiban berlaku dimana bahtera itu terangkat sendiri lalu masuk ke dalam laut. Ada yang percaya Jin Sakti Muno yang mengangkat dan menolak bahtera itu ke laut kerana syarat telah dipenuhi.. Dengan ini terselamatlah Puteri Seri Banun dan sebaik sahaja bahtera itu berjaya dilancarkan maka dia pun melahirkan seorang putera lalu di beri nama Batin menggalang.


Setelah lama belayar akhirnya Datok Perpatih sampai ke Negeri Sembilan lalu mereka membuka negeri. Datok Perpatih telah menyusun semula adat perpatih dengan mengatakan bahawa segala harta pusaka hendaklah diberikan kepada perempuan kerana orang perempuan yang sanggup mengorbankan nyawanya untuk membolehkan bahtera Datok Perpatih dilancarkan.



16.KAMPUNG TABUH



Jika anda pergi ke Seri Menanti ada sebuah perkampungan melayu bernama Kampung Tabuh. Kampung tersebut telah wujud lebih 200 tahun dahulu.


Menurut kisahnya pada suatu masa dahulu ada seorang tukang kayu yang mahir berasal dari Pagar Ruyung Minangkabau. Namanya Tabuh. Pada mulanya beliau datang ke Seri Menanti kerana ditugaskan oleh Raja Minangkabau untuk mendirikan istana raja di Seri Menanti. Setelah kerjanya selesai Tabuh menetap di sebuah kampung dan tidak bercadang untuk kembali ke kampung asalnya di Minangkabau. Pada suatu hari Tabuh berbincang dengan penduduk kampung tersebut.


" Hamba rasa kampung kita ini masih ada kekurangannya," kata Tabuh.


" Apa maksud tuan hamba?" tanya penduduk kampung tersebut.


" Sebagai sebuah kampung orang islam kita mestilah membina sebuah surau untuk kita sembahyang berjemaah," jawab Tabuh.


" Benar juga kata saudara," kata ketua kampung itu.


Akhirnya mereka bersetuju bergotong royong mencaari kayu di hutan untuk membena sebuah surau. Kerana Tabuh seorang tukang yang mahir maka dia diberi tugas untuk menyiapkan surau tersebut.


Beberapa bulan kemudian maka berdirilah sebuah surau di tengah perkampungan tersebut. Namun Tabuh berasa masih ada kekurangannya.


" Kita perlukan satu alat yang dinamakan Tabuh untuk menarik perhatian penduduk kampung," kata Tabuh dalam satu mesyuarat dengan penduduk kampung tersebut. Kata Tabuh lagi.


" Bila masuk waktu sembahyang kita bunyikan Tabuh itu. Bila ada kematian kita bunyikan dan kalau ada musuh yang datang kita bunyikan Tabuh itu."


Walaupun penduduk kampung tersebut tidak pernah melihat Tabuh namun mereka bersetuju demi untuk faedah bersama.Maka sekali lagi penduduk kampung bergotong royong menebang sebatang pokok yang besar. Setelah pokok itu tumbang dan di potong lalu diangkat ke halaman surau.


Setelah memilih hari yang sesuai maka Tabuh pun memulakan kerjanya. Dia bekerja siang dan malam dan cuma berhenti untuk bersembahyang, makan dan tidur sahaja. Dan akhirnya Tabuh itu pun berjaya disiapkannya.


Penduduk kampung terpegun melihat kecantikan Tabuh yang dibuat oleh tukang kayu yang mahir itu. Dan mereka lebih terpegun apabila Tabuh itu dipalu kerana bunyinya boleh kedengaran hingga ke hujung kampung. Dan orang yang bertanggungjawab memukul tabuh itu ialah Tabuh sendiri.


Sejak hari itu, setiap kali masuk waktu sembahyang lima waktu maka tabuh itupun berbunyi. Bila ada kematian maka Tabuh itupun berbunyi. Malah bila ada kecemasan Tabuh itu dibunyikan. Dengan ini mudahlah ketua kampung mengumpulkan aak-anak buahnya.


Pada suatu pagi penduduk kampung berasa hairan kerana Tabuh tidak berbunyi walupun fajar telah terbit. Malah bila masuk waktu sembahyang Zuhur pun Tabuh masih tidak berbunyi. Untuk menjawab pertanyaaan itu mereka pergi ke rumah Tabuh.


Rupanya Tabuh jatuh sakit. Dia tidak berdaya untuk ke surau memukul tabuh itu. Semakin hari sakit Tabuh semakin teruk sehingga selalu tidak sedarkan diri. Berbagai ubat telah dicuba namun tidak berjaya. Akhirnya penduduk kampung meminta bantuan dari seorang bomoh yang handal.


Setelah meilhat keadaan Tabuh akhirnya bomoh itu mengatakan ubatnya hanyalah belulang kambing yang digunakan untuk menutup mulut Tabuh kayu tersebut. Mereka mendapatkan tabuh kayu itu dan cuba menanggalkan belulang kambing yang kering itu namun tidak berjaya kerana sudah diikat mati pada lubang pangkal tabuh kayu tersebut.


Namun mereka tidak putus asa. Mereka bercadang gunakan gergaji kayu untuk memotong rotan pengikatnya. Namun usaha itu terpaksa dibatalkan kerana tukang kayu yang mahir itu sudah meninggal dunia. Penduduk kampung berasa amat sedih dengan kematian seorang tukang kayu yang mahir.Kemudian berlaku satu perkara aneh iaitu tabuh itu berbunyi dengan sendirinya walaupun tanpa dipalu oleh sesiapa. Malah bunyi paluan tabuh itu amat sedap rentaknya dan penduduk kampung itu amat suka hati bila mendengarnya.


Namun kejadian itu tidak lama kerana beberapa hari kemudian mereka tidak lagi mendengar tabuh itu berbunyi. Penduduk kampung bermuafakat mencari pengganti untuk memalu tabuh itu. Tetapi tidak seorang pun yang sanggup kerana yakin tabuh itu ada penunggunya.


Semasa Jepun datang ke kampung tersebut, penduduk kampung memberi tentangan. Maka berlakulah pertempuran antara kedua belah pihak yang mana akhirnya ramai penduduk kampung yang jadi mangsa.


Askar Jepun bukan sahaja membunuh kaum lelaki yang dapat ditawan malah mereka membakar surau tersebut sehingga rentong. Namun yang peliknya Tabuh itu tidak terbakar oleh api. Askar Jepun menggulingkan Tabuh itu ke dalam gaung yang berhampiran dengan kawasan tersebut.



17.ASAL USUL NAMA SUNGAI UJUNG


Pada satu ketika dahulu, terdapat sebuah perkampungan Melayu di tebing Sungai Temiang. Kerana Sungai Temiang itu luas dan airnya dalam maka banyaklah kapal dan perahu datang yang singgah. Akhirnya kawasan itu menjadi tempat persinggahan para pedagang untuk berniaga beras, bijih timah, perak, emas, rempah dan berbagai hasil jualan lagi.


Tersebutlah kisah seorang ibu tunggal bernama Induk Peraga dan seorang anak lelakinya bernama Johan. Mereka hidup dalam serba kemiskinan.


Untuk menampung perbelanjaan harian Induk Peraga mengambil upah bekerja di sawah orang, menjaja buah-buahan dan sayuran. Johan pula mengambil upah membawa air minuman dan mencari kayu api untuk dijual kepada pemilik kapal atau perahu dagang yang berlabuh di sungai temiang.


Salah seorang pedagang bernama Orang Kaya Dagang tertarik hati kepada Johan kerana dia nampak baik dan rajin. Maka dia menawarkan pekerjaan kepada Johan. Bagai pucuk dicinta ulam yang datang, dengan rasa senang hati Johan menerimanya.


Walapun berat rasa Induk Peraga untuk melepaskan anaknya belayar mengikut Orang Kaya Dagang namun akhirnya dia terpaksa mengalah juga tambahan pula bila melihat Johan begitu berminat untuk menjadi pelaut. Sejak berkerja dengan Orang Kaya Dagang, Johan bekerja bersungguh-sungguh menyebabkan dia disayangi oleh majikannya.


Kebetulan Orang Kaya Dagang ada seorang anak gadis yang masih belum bersuami. Kerana orang kaya dagang tertarik dengan sifat terpuji Johan maka dia bercadang hendak menjodohkan dengan anaknya. Dan mereka hidup bahagia. Apabila Orang Kaya Dagang meninggal dunia maka Johan mengambil alih tugas bapa mertuanya dengan bergelar Nakhoda Johan.


Adapun ibu Johan Induk Peraga setiap hari menunggu di kuala Sungai Temiang menanti kepulangan anaknya. Dari cerita yang disampaikan oleh para pedagang dia mendapat tahu anaknya kita sudah kaya raya dan bergelar Nakhoda Johan.


Pada suatu hari berlabuhlah sebuah Jong yang amat besar di Kuala Sungai Temiang. Dan tersebar berita bahawa Jong itu kepunyaan Nakhoda Johan. Mendengar berita itu maka Induk Peraga pun pergilah untuk bertemu dengan anaknya.


Kerana Induk Peraga seorang perempuan tua yang miskin dengan pakaian yang korak rabak maka Nakhoda Johan berasa malu untuk mengaku itu adalah ibunya. Malah dia menyuruh orang tua itu diusir dari Jongnya.


Induk Peraga diseret ke darat dan sampai di tebing Sungai Temiang maka dia pun menadah tangannya ke langit lalu berseru.


" Wahai Tuhan, jika benar itu adalah anakku, turunkanlah bala ke atasnya!".


Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Kilat sabung menyabung. Angin ribut bertiup kencang. Dengan kehendak Tuhan Jong itu karam dan segala muatannya menjadi batu. Sejak itulah tempat itu dikenal dengan Sungai Jong Tenggelam. Akhirnya bertukar menjadi Sungai Ujung.


Kerana Sungai Ujung menjadi tumpuan para pedagang maka ramai orang cina yang mendiami kawasan tersebut untuk mencari bijih timah. Di kalangan masyarakat cina, Temiang dikenali sebagai Cam Heong Toh yang berarti Pulau Jong Tenggelam.


Dalam kitab Syair Jawa Negarakertagama ada menyebut nama tempat " Sang Yang Hujung di Tanah Melayu" yang menjadi jajahan kerajaan Sriwijaya dari Palembang. Apabila Palembang tewas kepada Majapahit, Sang Yang Hujung juga jatuh ke tangan Majapahit.


Dalam cetera kesebelas Sejarah Melayu pula ada tercatat bhawa Raja Iskandar Shah pernah sampai ke Sening Ujung sebelum menjumpai Melaka. Mengikut sejarahnya baginda yang tewas dalam peperangan dengan Majapahit telah lari ke Muar, Johor lalu membina kota Biawak Busuk sebelum berhijrah ke Melaka.


Semasa singgah di Sungai Ujung baginda tertarik dengan keadaan tempat tersebut lalu baginda menempatkan seorang menteri untuk memerintah di situ. Ini bermakna sejak abad keempat belas Sungai Ujung berada di bawah kuasa kerajaan Melayu Melaka.


Semasa Sultan Muzaffar Shah memerintah Melaka (1445-1458) Sungai Ujung dibawah pegangan Bendahara Paduka Tun Perak dan Seri Nara Diraja Tun Ali. Dan semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah Penghulu di Sungai Ujung bernama Tun Nakal.


Terdapat sebuah batu bersurat di Pengkalan Kempas, Sungai Ujung yang sekarang dikenal sebagai Keramat Sungai Ujung tercatat tahun 1467 yang ketika itu Melaka di bawah pemerintahan Sultan mansur Shah.


Semasa Melaka diperintah oleh Portugis, Sungai Ujung dibawah kuasa kerajaan Johor. Selepas itu barulah Sungai Ujung dikuasai oleh orang Melayu yang datang dari Minangkabau.


Pemerintah Sungai Ujung yang pertama ialah Datuk Kelana Badur, anak kepada Penghulu Cantik. Semasa beliau berkuasa Sungai Ujung aman namun setelah beliau meninggal dunia keadaan di Sungai Ujung tidak pernah aman kerana waris beliau berebut kuasa.


Pada pertengahan abad ke tujuh belas, Sungai Ujung menjadi terkenal akibat perbalahan dan perebutan kuasa para pembesarnya. Bagi menyelesaikan perbalahan tersebut Datuk Kelana Syed Abdul Rahman telah menjemput pihak British untuk campur tangan. Dengan ini Sungai Ujung menjadi daerah pertama di Negeri Sembilan yang menerima perlindungan British. Dan pada 10 oktober 1874 Kapten Tathnam dilantik sebagai penolong Residen Inggeris di Sungai Ujung.


Sungai Ujung dikaitkan dengan bandar Seremban yang merupakan kawasan yang paling pesat membangun di Negeri Sembilan. Seremban ialah sejenis permainan kanak-kanak yang menggunakan batu-batu kecil.




18: SERI MENANTI


Versi 1:


Pada suatu hari Datuk Putih berserta rombongannya daripada suku Seri Lemak Minangkabau datang ke Tanah Melayu untuk mencari kehidupan baru. Adapun Datuk Putih terkenal sebagai seorang Pawang yang terbilang. Setelah lama berjalan akhirnya mereka sampai ke satu tempat yang bersempadan antara Rembau dengan Kuala Pilah. Kerana tertarik dengan tempat tersebut maka Datuk Putih memerintahkan orang-orangnya mendirikan sebuah perkampungan.


Datuk Putih bertanyakan kepada orang-orang di situ nama tempat tersebut namun tidak siapa yang tahu. Dengan demikian perkampungan tersebut tidak mempunyai nama untuk beberapa lama setelah dibuka.


Pada suatu hari Datuk Putih mengumpulkan anak-anak buahnya dan mengajak mereka keluar mencari tempat yang sesuai untuk bercucuk tanam. Semasa dalam perjalanan Datuk Putih melihat ada suatu tumbuhan yang menarik perhatiannya. Dia memanggil pengikutnya untuk mengenal pasti tumbuhan tersebut.


" Ini adalah pokok padi!" kata seorang tua dikalangan mereka.


Maka Datuk Putih pun menyuruh anak buahnya mencabut pokok padi itu namun tidak berjaya seolah akarnya mencengkam kuat ke bumi. Maka akhirnya Datuk Putih sendiri yang mencuba namun masih tidak berjaya mencabutnya.


Datuk Putih membaca jampi mentera yang dihafalnya kerana sememangnya dia seorang pawang besar. Dari firasatnya mengatakan pokok padi itu dijaga oleh makhluk halus dan tidak siapa boleh mencabutnya. Akhirnya pokok padi itu dibiarkan sahaja di tempat asalnya.


Adapun pokok padi itu semakin hari semakin subur dan membesar akhirnya mengeluarkan buah padi yang amat banyak. Datuk Putih memohon kepada penunggu yang menjaga pokok padi itu untuk mengambil buah padi untuk dijadikan benih. Benih padi itu disemai di sawah lalu kembang membiak. Akhirnya kawasan tersebut penuh dengan pokok padi.


Maka Datuk Putih pun mencadangkan supaya tempat itu dinamakan " Semangat Padi yang menanti" sempena batang padi yang mereka jumpai. Kemudian nama itu bertukar jadi " Padi Menanti" dan akhirnya jadi " Seri Menanti."



Versi 2:


Namun ada pula yang mengatakan Seri Menanti dibuka Oleh Datuk Seri Raja orang Minangkabau dari suku Batu Hampar pada abad kelima belas. Adapun Datuk Seri Raja bersaudara dengan Datuk Bendahara yang menjadi Penghulu Luak Sungai Terap, Siak.


Suatu hari berlaku perselisihan faham antara Datuk Seri Raja dengan Datuk Bendahara. Akibatnya Datuk Seri Raja berasa tidak senang hati tinggal di Sungai Terap lalu bercadang hendak membawa keluarga dan pengikutnya ke Tanah Melayu.


Pada hari yang ditetapkan maka berkumpullah pengikutnya seramai 30 orang lelaki dan 30 orang perempuan. Adapun pengikutnya yang perempuan kesemuanya terdiri daripada suku Batu Hampar. Setelah menyeberangi Selat Melaka mereka singgah di Naning. Namun mereka tidak bercadang untuk menetap di Naning kerana matlamat mereka ke Rembau kerana di sana ramai orang Minangkabau.


Dalam perjalanan ke Rembau mereka singgah di satu tempat yang menjadi sempadan antara Rembau dengan Kuala Pilah. Nama tempat itu ialah Londar Naga. Dinamakan Londar Naga kerana dipercayai tempat itu pernah dilalui oleh seekor ular naga. Hari ini Londar Naga bertukar jadi Kampung Galau letaknya di kawasan Seri Menanti.


Apabila sampai di Rembau, Datuk Seri Raja meminta izin daripada Datuk Undang Rembau untuk menetap di Londar Naga. Kerana kawasan itu sudah bertuan maka Datuk Undang Rembau mencadangkan mereka membuka perkampungan baru di suatu kawasan lembah berhampiran dengan sebatang sungai. Datuk Putih bersetuju dan akhirnya tempat itu dinamakan Sungai Layang. Kerana bilangan mereka semakin bertambah ramai maka Datuk Putih membuka satu lagi penempatan baru tidak jauh dari Sungai layang dan tempat itu dinamakan Seri Menanti.



VERSI 3


Dua adik beradik bernama Sutan Sumanik dan Johan Kebesaran anak orang besar Minangkabau dari suku Tanah datar datang ke Rembau lalu mengadap Datuk Undang Rembau. Kedua bersaudara itu memohon membuka kawasan perkampungan lalu mereka disuruh oleh Datuk Undang Rembau meneroka tanah di kasawan sekitar Sungai Layang.


Kedatangan mereka disambut baiik oleh Datuk Seri Raja. Kerana mereka berlainan suku maka berlakulah perkahwinan antara orang-orang dari Tanah datar dengan suku Batu Hampar. Keluarga mereka jadi semakin ramai hingga terpaksa sebahagian daripada mereka membuka sebuah lagi perkampungan baru di satu tempat bernama Tanjung Alam. Kampung itu kini sudah bertukar nama kepada Gunung Pasir.


Dari hari ke hari bilangan orang-orang Minangkabau yang datang ke Rembau semakin bertambah. Kerana mereka datang dari berlainan tempat maka akhirnya suku-suku orang Minangkabau di Rembau juga semakin bertambah akhirnya menjadi dua belas suku.


Pada suatu hari ada permintaan supaya dilantik seorang penghulu dari tiap-tiap suku bertujuan untuk menjaga kepentingan orang-orang dari suku kaum mereka. Mereka dapat kata sepakat mengadap Datuk Penghulu Luak Inas bertujuan meminta seorang anaknya menjadi penghulu suku mereka.


Penghulu Inas bersetuju lalu menghantar anak perempuannya bernama " Senduk Emas" yang kemudiannya bergelar " Penghulu Berantai Kulit" Mereka membuat sebuah tempat kediaman di satu tempat bernama Padang Biawas yang letaknya tidak jauh dari Seri Menanti.


Penghulu Berantai Kulit dikahwinkan dengan seorang lelaki dari keturunan yang baik bernama Khatib Adil. Mereka mendapat dua orang anak lelaki iaitu Naam dan Sutan Kaaro atau lebih dikenali dengan nama Panglima Hitam. Naam kemudiannya dilantik sebagai penghulu di Luak Muar manakala Panglima Hitam terus menetap di Padang Biawas.


Panglima Hitam yang bertanggung jawab membawa Raja Melewar dari Pagar Ruyung Minangkabau ke Tanah Melayu untuk ditabalkan jadi Yamtuan Negeri Sembilan.


Panglima Hitam juga yang bertanggung jawab mendirikan sebuah istana yang diberi nama "Istana Menanti" pada tahun 1908 yang mana bentuknya sama seperti istana Pagar Ruyung di Minangkabau. Keunikan istana Seri Menanti kerana didirikan tanpa menggunakan sebatang paku. Dan Istana Seri Menanti kini menjadi tumpuan para pelancung bila datang ke Negeri Sembilan.



19. SEJARAH LUKUT


Pada mulanya kawasan Lukut yang terletak antara Seremban dengan Port Dickson hanya didiami oleh orang laut yang disebut dalam bahasa Inggeris sebagai Sea Gypsies. Kawasan tersebut dipanggil lukut kerana hanya pokok lukut saja yang tumbuh subur manakala tanaman lain tidak menjadi. Akhirnya kawasan tersebut dipanggil Lukut.


Kegiatan harian orang-orang laut yang mendiami Lukut hanyalah menangkap ikan di laut. Disamping itu mereka juga cuba bercucuk tanam namun tanaman mereka tidak subur kerana tanahnya yang keras dan berbatu. Apabila mereka mencangkul atau membajak selalu terjumpa benda-benda keras dan berbiji-biji. Pada masa itu mereka tidak tahu apakah bendanya namun akhirnya barulah mereka tahu itu adalah logam berharga yang bernama bijih timah.


Pada suatu hari sekumpulan nelayan dari Melaka sampai ke Lukut untuk menangkap ikan. Mereka terperanjat kerana tempat tersebut banyak terdapat bijih timah. Bila berita itu sampai ke Melaka maka ramailah orang-orang cina yang berkerja sebagai pelombong bijih timah berhijrah ke Lukut.


Dari hari ke hari bilangan yang berhijrah ke Lukut semakin bertambah hingga menyebabkan sering berlaku pergaduhan sesama mereka akibat berebut kawasan mencari bijih timah.


Ketika itu Lukut diperintah oleh Raja Busu. Baginda mula berasa curiga dengan kedatangan orang-orang cina yang begitu ramai ke Lukut. Maka Raja Busu pun membuat undang-undang sesiapa yang membawa bijih timah keluar dari Lukut mesti membayar cukai kepada baginda.


Akibatnya ramai pelombong merasa tidak puas hati tambahan pula cukai yang dikenakan terlalu tinggi. Akhirnya mereka berpakat untuk membunuh Raja Busu.


Pada suatu malam, sekumpulan lelaki mengepung rumah kediaman Raja Busu lalu berteriak menyuruh baginda keluar. Namun teriakan itu tidak dihiraukan oleh baginda. Ini menjadikan mereka berasa marah lalu membakar rumah Raja Busu. Kerana cepatnya api yang marak Raja Busu dan keluarga baginda tidak sempat menyelamatkan diri lalu terbakar. Makam Raja Busu masih ada di kota Lukut.


Mengikut sejarahnya, pada abad ke 19 Lukut, Kelang, Bernam dan Selangor adalah wilayah yang berasingan. Ia diperintah oleh anak-anak raja dan mereka sering bersengketa akibat berebut kawasan dan kekayaan. Pada mulanya Lukut di buka oleh Raja Busu (Tengku Bongsu) anak raja Selangor.


Kawasan Lukut mula menjadi rebutan pada tahun 1815 apabila ramai pelombong Cina menjalankan kegiatan melombong di kawasan tersebut. Raja Bongsu telah mengenakan cukai sebanyak sepuluh peratus kepada setiap bijih timah yang dibawa keluar dari Lukut dan ini menimbulkan kemarahan pelombong Cina.


Pada suatu malam dalam bulan September 1934, pelombong-pelombong Cina datang ke rumah Raja Busu untuk berunding bagi menyelesaikan masalah cukai yang dikenakan terhadap mereka namun tidak berjaya. Akibatnya pelombong-pelombong Cina menyuruh Raja Busu keluar namun baginda tidak mengendahkannya. Apabila mereka mengugut hendak membunuh baginda Raja Busu menjawab orang Islam tidak takut mati. Akibatnya rumah Raja Busu dibakar dan baginda mati bersama keluarganya.


Tindakan pelombong-pelombong Cina itu menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu di Lukut dan terjadi pergaduhan antara kedua belah pihak. Akibatnya pelombong-pelombong Cina lari ke Melaka. Keadaan di Lukut agak kacau bilau seketika kerana ketiadaan pengganti Raja Busu.


Pada tahun 1836 Sultan Mohammad (Sultan Selangor ke 3 : 1825 – 1857) telah datang ke Lukut bersama pengiring baginda. Kemudian baginda melantik Raja Jumaat sebagai wakil baginda di Lukut. Kemudian Raja Jumaat berkahwin dengan puteri Sultan Mohamad iaitu Tengku Senai (Tengku Nai).


Pada tahun 1846, Sultan Mohamad memberi kuasa kepada Raja Jumaat untuk memerintah Lukut dan mengambil cukai di daerah itu. Di bawah pemerintahan Raja Jumaat Lukut semakin terkenal dan maju. Saudagar Eropah dan Cina ramai datang ke Lukut untuk mendapatkan bijih timah.





20: ASAL NAMA LINGGI DAN SEJARAHNYA


Pada suatu hari Tok Lebai Dolman berunding dengan saudaranya Kanda Ali, Haji kassim, Khatib Jamaluddin, Tok Sulung Mahmud dan Khatib Musa. Dalam perundingan tersebut Tok Lebai Dolman mengajak saudara-saudaranya meninggalkan Rembau untuk membuka perkampungan baru. Dan akhirnya mereka bersetuju.


Pada hari yang ditetapkan maka bertolaklah mereka seramai empat belas orang yang terdiri dari tujuh lelaki dan tujuh perempuan yang merupakan pasangan suami isteri. Mereka meninggalkan Rembau dengan menaiki perahu untuk mencari kawasan yang sesuai untuk dijadikan perkampungan.


Perahu mereka terus mudik di sebatang sungai yang kini dinamakan Sungai Linggi. Mula-mula mereka bertemu dengan satu tempat bernama Siliau.


" Mungkin tempat ini sesuai kita jadikan perkampungan," kata salah seorang daripada mereka.


Sebagai ketua rombongan Tok Lebai Dolman berkuasa memberi kata putus. Tapi sebelum membuat keputusan dia menyiasat dulu kawasan Siliau. Dia kemudiannya mengatakan tidak setuju kerana kawasan tersebut tidak menarik minatnya. Maka mereka pun meneruskan perjalanan.


Perahu yang merek naiki terus menghilir dan akhirnya sampai ke satu tempat bernama Pangkalan Kundang. Mereka tidak dapat lagi berperahu kerana perahu mereka sudah bocor dan tidak boleh digunakan lagi. Mereka naik ke darat dan berjalan kaki untuk meninjau kawasan tersebut. Rombongan itu meneruskan perjalanan ke hulu hingga sampai ke satu tempat yang belum ada nama.


Ketika itulah mereka menjumpai linggi-linggi iaitu sejenis papan melengkung yang digunakan kepada kepala perahu dulukala. Kerana sudah berasa penat mereka duduk berehat di atas papan linggi-linggi itu. Kemudian Tok Lebai Dolman memutuskan untuk berkampung di situ. Enam pasangan lagi meneruskan perjalanan untuk mencari tempat yang berkenan di hati mereka.


Setelah lama berjalan rombongan itu bertemu sebuah teratak yang didiami oleh sepasang suami isteri bernama Tok Subuh yang berasal dari Sumatera. Kerana hari sudah malam maka mereka meminta izin dari Tok Subuh untuk bermalam di situ. Akhirnya tempat itu dinamakan Kampung Tok Subuh.


Begitulah seterusnya mereka mencari tempat yang sesuai untuk membuka penempatan baru dan apabila bertemu mereka meninggalkan sepasang suami isteri untuk menetap di situ.


Tok Kanda Ali dengan Isterinya menetap di sebuah tempat yang dinamakan Kampung Hilir, Tok Haji Kasim membuka penempatan baru di kampung Hulu, Tok Khatib Musa pula menjumpai satu tempat yang akhirnya dinamakan kampung Teluk Rumbia. Tok Noh dan isterinya pula membuka sebuah perkampungan bernama kampung Tampin. Setelah kawasan-kawasan tersebut dibuka dan dihuni maka ramailah yang datang untuk menetap di kampung-kampung tersebut.


Menurut Gullick, seorang pengkaji sejarah, nama Linggi mula digunakan pada tahun 1783 dan nama itu berasal dari kayu melengkung yang digunakan pada bahagian kapal. Menurut Gullick lagi, sejak awal tahun 1720 nama Linggi sudah di gunakan untuk menyebut sebatang sungai yang mengalir hingga ke Seremban.


R J Wilkinson, seorang pengkaji sejarah mengatakan kawasan Linggi muia dibuka oleh seorang yang bernama Tok Lebai Dolman. Begitu juga dengan Raja Ali Haji yang ada menyebut nama Linggi dalam tulisannya.


Tempat yang menarik di Linggi ialah kota sejarahnya. Kota Linggi dibina oleh orang Belanda pada tahun 1757 di kawasan tanah tinggi di bukit Supai. Belanda juga menamakannya " kota Filipina" pada tahun 1758.


Di kota Linggi juga diadakan perjanjian damai antara pihak Belanda dengan Daeng Kemboja, pemimpin Bugis yang berkuasa di pengkalan Sungai Linggi. Dengan termeterinya perjanjian itu maka Belanda boleh mengutip cukai bijih timah di kawasan tersebut. Belanda menjadikan Kota Linggi sebagai tempat untuk memonopoli cukai bijih timah dari kawasan pedalaman.


Sungai Linggi pula merupakan laluan paling penting yang menggerakkan ekonomi Negeri Sembilan pada abad ke 19. Kerana itu banyak penempatan baru dibangunkan di sepanjang Sungai Linggi. Sungai Linggi juga digunakan oleh kapal dagang untuk membawa bijih timah dan hasil dagangan yang lainya. Kerana itu tidak hairanlah kenapa Sungai Linggi selalu jadi rebutan malah berlaku perang Sungai Linggi.


Pada tahun 1830, Raja Ali dan Syed Saaban telah diiktiraf oleh Inggeris sebagai Datuk Penghulu Rembau sebagai membalas jasanya membantu Inggeris dalam perang Naning ke 2. Dengan pengiktirafan itu Raja Ali dan Syed Saaban cuba menguatkan kedudukannya dengan menguasi Sungai Linggi bertujuan untuk mengawal perdagangan dari Melaka ke Sungai Ujung.


Untuk melaksanakan tujuan tersebut mereka membina sebuah kubu pertahanan di satu tempat bernama Simpang kerana disitu terdapat dua batang sungai iaitu Sungai Batang Penajis dan Sungai Batang Benar. Kedua sungai tersebut bertemu dengan Sungai Linggi.


Tindakan Raja Ali dan Syed Saaban itu tidak disenangi oleh Datuk Muda Kattas yang bertanggung jawab menjaga kepentingan perdagangan di Sungai Ujung. Datuk Muda Kattas mengisytiharkan perang ke atas Raja Ali dan Syed Saaban.


Maka pada tahun 1833 berlakulah perang Sungai Linggi antara Raja Ali dan Syed Saaban dengan Datuk Muda Kattas. Disini Inggeris memainkan peranannya dengan memihak kepada Datuk Muda Kattas.


Kerana Datuk Muda kattas dapat bantuan dari orang-orang Linggi, orang Cina di Melaka, Inggeris dan sokongan dari Datuk Kelana Sungai Ujung dan Raja Raden Seri Menanti, maka kubu Raja Ali dan Syed Saaban dengan mudah dapat ditawan dan peperangan berakhir dalam masa yang singkat. Raja Ali dan Syed Saaban dapat ditawan tetapi tidak dibunuh sebaliknya disuruh pulang ke Rembau dengan syarat jangan lagi masuk campur urusan di Sungai Linggi.


Selepas kematian Datuk Muda Linggi iaitu Datuk Mohd Kattas pada tahun 1849 keadaan kembali bergolak kerana Sungai Linggi menjadi rebutan antara Datok Undang Rembau, Datok Klana Sungai Ujung dan Datok Muda Linggi. Keadaan menjadi lebih gawat apabila Lebai Kulup yang disokong oleh Datuk Undang Rembau menjalankan kutipan cukai di Sungai Linggi.


Kerana kuatir menjejaskan perniagaan mereka maka pihak Inggeris cuba menyelesaikan masalah dengan mengajak mereka yang terlibat berbincang mencari jalan damai. Inggeris berjaya memujuk Datok Undang Rembau, Datuk Kelana Sungai Ujung (Datuk Kelana Sending) dan Datok Muda Linggi (Datuk Muda Haji Muhamad Salleh) untuk berunding.


Hasil dari pertemuan itu mereka bersetuju untuk mewujudkan kembali keamanan di Sungai Linggi. Dengan ini semua sekatan untuk memungut cukai di Sungai Linggi dihapuskan dan kuasa memungut cukai hanya boleh ditentukan oleh Datok Muda Linggi sahaja.




21: ASAL NAMA KAMPUNG MIKU


Kira-kira 400 tahun dahulu ada sepasang suami isteri berasal dari Minangkabau Sumatera Barat merantau ke Tanah Melayu. Tujuan mereka ialah untuk membuka perkampungan bagi memulakan penghidupan baru. Si suami bernama Si Gontalam manakala si isteri bernama Nagokayo. Kerana mereka hanya orang biasa maka tidak ada sesiapa yang sanggup menyertai mereka. Kedua suami isteri tersebut hanya berserah kepada untung nasib sahaja ibarat untung sabut timbul kalau untung batu akan tenggelam.


Sampai di Tanah Melayu mereka terus berjalan mengikut langkahan kaki sahaja kerana tidak ada arah tujuan yang tertentu. Apabila penat berjalan mereka berhenti rehat seketika kemudian meneruskan perjalanan semula. Apabila hari senja mereka singgah untuk bermalam dan keesokan harinya mereka meneruskan perantauan.


Adalah dipercayai mereka mendarat di Port Dickson yang mana ketika itu masih belum bernama. Kemudian mereka sampai di Sungai Ujung yang ketika itu masih belum diteroka. Mereka terus berjalan lagi dan akhirnya sampai di Rembau.


Ketika itu kawasan Rembau sudah didiami oleh orang-orang asli yang merupakan penduduk asal dan orang-orang Minangkabau yang datang dari Sumatera. Namun Si Gontang dan Nagokayo tidak berhasrat untuk menumpang hidup dengan mereka kerana tujuan asal ialah untuk membuka perkampungan baru.


Akhirnya mereka sampai di suatu tempat yang menarik minat mereka untuk menerokanya. Kebetulan pula sebaik sahaja mereka sampai di tempat itu hari sudah hampir senja dan mereka mengambil keputusan untuk bermalam di situ. Dalam tidurnya Si Gontalang bermimpi didatangi oleh seorang tua yang berjubah dan berjanggut panjang. Orang tua itu menyuruh Si Gontalang menetap di situ kerana tempat tersebut memang sesuai dan mereka akan hidup bahagia.


Apabila terjaga dari tidur Si Gontalang menceritakan darihal mimpinya kepada isterinya. Si Nagokayo amat gembira mendengarnya dan berasa yakin nasib mereka akan berubah apabila mendiami kawasan tersebut.


Bermula dari hari itu Si Gontalang dan isterinya berusaha untuk menjadikan tempat itu sebuah perkampungan baru. Usaha mereka tidak sia-sia kerana dari hari ke sehari semakin ramai yang datang ke situ dan akhirnya kawasan tersebut menjadi sebuah perkampungan.


Tidak berapa lama kemudian berlaku musim kemarau yang panjang menyebabkan kawasan tersebut menjadi kering kontang. Akibatnya banyak tanaman mereka yang mati dan ini menimbulkan kerunsingan di hati penduduk kampung tersebut.


Akhirnya Si Gontalang mengajak penduduk kampung berkumpul untuk membaca doa selamat dan memohon diturunkan hujan. Selesai sahaja doa dibacakan maka turunlah hujan dan hujan itu tidak berhenti-henti selama tujuh hari tujuh malam.


Apabila hujan telah berhenti penduduk kampung keluar beramai-ramai. Mereka dapati tanah yang dulunya kering kontang kini sudah subur dan sesuai untuk bercucuk tanam. Akhirnya perkampungan tersebut jadi maju dan penduduknya hidup aman damai.


Pada suatu hari Si Gontalam duduk di bawah sebatang pokok yang rendang. Dia bersandar di perdu pokok itu sambil mengenang masa silamnya. Dia teringat di tempat itulah dia dan isterinya mula-mula sampai dan di bawah pokok itulah mereka bermalam. Tiba-tiba Si Gontalam sedar yang kampung itu belum ada nama. Maka dia pun memikirkan apakah nama yang sesuai untuk kampung tersebut.


Setelah agak lama berfikir akhirnya Si Gontalam memutuskan untuk menamakan kampung itu Kampung Miku sempena nama pokok Miku yang rendang menjadi tempat mereka bermalam pada hari pertama sampai ke situ. Sehingga ke hari ini kampung tersebut masih kekal dengan nama Kampung Miku.




22: ASAL NAMA GEMENCEH DAN SEJARAHNYA


Menurut ceritanya asal nama Gemenceh ialah Sungai Sipuit kerana di situ terdapat sebatang sungai yang banyak siput. Kenapa Sungai Siput bertukar jadi Gemenceh?. Begini kisahnya.


Suatu ketika dahulu ada sepasang suami isteri dari Minangkabau datang ke Melaka untuk mencari kehidupan baru. Namun setelah beberapa tahun tinggal di Melaka nasib mereka masih juga tidak berubah. Maka suami isteri itu mengambil keputusan untuk meninggalkan Melaka dan mencuba nasib di kampung tengah tidak yang letaknya tidak jauh dari Melaka.


Setelah beberapa tahun tinggal di kampung Tengah, nasib pasangan suami isteri itu masih juga tidak berubah. Tanaman yang mereka usahakan tidak menjadi, dagangan yang mereka jual tidak laku. Maka akhirnya mereka memutuskan untuk meninggalkan kampung Tengah untuk berhijrah ke tempat lain.


Setelah lama berjalan akhirnya mereka sampai ke satu tempat yang didiami oleh beberapa orang kaum asli. Mereka menjumpai sebuah pondok usang yang telah lama ditinggalkan. Kerana sudah penat berjalan dan hari sudah hampir malam maka mereka mengambil keputusan untuk bermalam di pondok usang tersebut.


Keesokan harinya apabila terjaga dari tidur, si suami mengajak isterinya meneruskan perjalanan namun di bantah oleh isterinya.


" Elok Kita menetap di sini saja," kata isterinya mencadangkan.


" Tempat ini kawasan orang asli. Takut nanti timbul permusuhan dengan mereka," kata si suami pula.


Akhirnya terjadi pertengkaran antara kedua suami isteri tersebut. Semasa mereka sedang bertengkar itulah datang sepasang suami isteri orang asli. Si Suami bernama Supai manakala isteri bernama Gemenceh. Mereka adalah kaum asli dari suku Biduanda.


" Suami isteri jangan bertengkar nanti hidup tidak aman," kata Gemenceh.


Kata-kata itu dapat memadamkan pertengkaran suami isteri tersebut lalu mereka bermaafan. Kemudian Gemenceh mengajak mereka bertandang ke rumahnya dan mereka dilayan dengan baik sebagai tetamu. Suami isteri orang Minangkabau itu diberi makan dan minum secukupnya.


" Pondok buruk itu milik kami. Kalau kamu nak tinggal di situ kami benarkan," kata Gemenceh.


" Tapi dengan satu syarat. Kamu mesti hidup berbaik-baik dengan kami di tempat ini," kata suami Gemenceh pula.


Pasangan suami isteri orang Minangkabau itu bersetuju dan mereka mendirikan sebuah pondok baru bersebelahan dengan pondok usang kepunyaan orang asli tersebut. Mereka hidup dengan aman damai saling bekerjasama antara satu sama lain.


Pada suatu hari sedang mereka berkumpul maka orang Minangkabau itu mencadangkan supaya perkampungan tersebut diberi nama supaya mudah dikenali ramai. Orang-orang asli menyerahkan saja kepada pasangan Minangkabau itu untuk memberikan namanya. Akhirnya mereka mencadangkan nama "Gemenceh" sempena nama wanita kaum asli yang baik hati itu. Masing-masing bersetuju dan sejak itulah tempat tersebut bernama Gemenceh.


Gemenceh semakin dikenali ramai apabila terjumpa emas di kawasan tersebut. Semakin hari semakin ramai orang yang datang untuk mencari emas. Datuk Saeto yang berkuasa di Johol cuba menjajah Gemenceh tetapi ditentang oleh penduduk Gemenceh yang dipimpin oleh Raja Hussain.


Maka pada tahun 1901, terjadi peperangan antara orang-orang Datuk Saeto dengan penduduk Gemenceh. Pertempuran itu terjadi di Bukit Talang yang kini dikenal sebagai Kampung Pulau. Kerana ramainya orang-orang Datuk Saeto dan bersemangatnya orang-orang Gemenceh untuk mempertahankan kawasan mereka maka peperangan tersebut terjadi amat sengit sekali. Namun akhirnya penduduk Gemenceh terpaksa juga mengaku kalah dan Gemenceh berada dibawah kekuasaan Johol.


Beberapa tahun kemudian penduduk Gemenceh berjaya bersatu dan mengumpul semula kekuatan untuk membebaskan tanah mereka dari kekuasaan Johol. Sebelum melakukan serangan mereka berhenti di suatu tempat untuk berehat dan mengasah senjata masing-masing. Tempat tersebut kini dikenali dengan nama Asahan.


Kerana penduduk Gemenceh cukup persediaan dengan senjata dan sebagainya maka akhirnya orang-orang Johol berjaya di halau keluar dari Gemenceh.




23: MASJID KUALA DULANG


Batin Lambung Setia Raja ialah seorang Pawang Besar yang berasal dari Pahang, Syah Alam Raja Sehari pula ialah seorang tukang tilik yang handal berasal dari Pagar Ruyung, Minangkabau. Keduanya sama-sama mengembara untuk membuka negeri. Setelah jauh mereka berjalan, secara kebetulan mereka bertemu di suatu tempat bernama Bukit Buaiyan. Keduanya berhenti di situ untuik berehat.


Setelah bertegur sapa dan berkenalan masing-masing cuba menunjukkan kehandalan. Batin lambung Setia Raja membaca jampi menteranya dan sebaik sahaja jampi menteranya habis dibaca, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya hingga membasahi pakaian Syah Alam Raja Sehari. Syah Alam tersenyum lalu membuka ilmu tiliknya. Tiba-tiba hujan yang turun dengan lebatnya itu berhenti dan matahari memancar terik sehingga berupaya mengeringkan pakaiannya.


" Nampaknya kita memiliki ilmu yang sama handalnya. Oleh sebab itu, hamba fikir lebih baik kita berdamai sahaja," kata Syah Raja Sehari.


" Benar kata tuan hamba. Tidak ada faedahnya kalau kita berkelahi. Lagipun tujuan kita datang ke sini untuk membuka negeri, bukannya untuk berperang," balas Batin Lambung Setia Raja pula.


" Hamba hanya boleh membuka negeri apabila terjumpa sedulang nasi. Begitulah pesan ayahanda hamba," kata Syah Alam Raja Sehari.


" Ayahanda hamba juga berpesan begitu. Hamba akan terus berjalan mencari tempat yang ada sedulang nasi," balas Batin lambung Setia Raja.


Mendengarkan itu, Syah Alam Raja Sehari berasa marah. Kedua-duanya mula bertengkar kerana masing-masing menyangka dipermainkan. Pertengkaran mereka semakin hebat sehingga hampir mencetuskan perkelahian.


Tiba-tiba mereka terdengar suara perempuan sedang menyanyi menyebabkan pertengkaran itu terhenti. Mereka begitu terpesona mendengar kemerduan si penyanyi itu.


Batin lambung Setia bersuara, " Hamba fikir elok kita cari dari mana datangnya suara perempuan itu. Hantukah dia atau manusia?".


Syah Alam Raja Sehari mengangguk-ngangguk seraya melirik senyuman. Kemudian dia menokok. " kalau dia manusia kita jadikan isteri tapi kalau hantu atau jembalang biar hamba yang menghalaunya dari sini."


" Mari kita gunakan kepandaian masing-masing," cadang Batin lambung Setia Raja.


" Biar hamba dulu," kata Syah Alam Raja Sehari lalu menggunakan ilmu tiliknya. " Hmm…Perempuan itu berada dalam rumpun buluh di lembah sana."


" Ayuh mari kita sama-sama mencarinya," balas Batin Lambung Setia Raja.


Batin Lambung Setia Raja dan Syah Alam Raja Sehari sama-sama turun ke lembah itu. Di situ mereka dapati ada serumpun buluh dan suara perempuan itu memang datang dari dalam rumpun buluh itu.


" Baik kita tebang dahulu buluh-buluh itu. Mungkin perempuan itu sedang bersembunyi di dalamnya," cadang Syah Alam Raja Sehari.


" Elok juga cadangan tuan hamba itu," balas Batin Lambung Setia Raja.


Lalu keduanya menebang pokok-pokok buluh itu. Sebaik sahaja habis buluh-buluh itu ditebang, mereka terlihat seorang perempuan sedang duduk bersila di tengah-tengah bekas rumpun buluh itu. Dan di hadapan perempuan itu terdapat sedulang nasi. Batin Lambung Setia Raja dan Syah Alam Raja Sehari berpandangan.


" Siapakah kamu wahai peremluan muda?. Adakah kamu ini manusia seperti kami atau dewa-dewa?" tanya Batin Lambung Setia Raja.


" Hamba adalah manusia seperti kamu. Ayahanda hamba yang menyuruh hamba datang ke sini membawa sedulang nasi," jawab perempuan muda itu.


Kemudian perempuan itu menoleh lalu terlihatlah oleh mereka wajah perempuan itu yang cantik bak purnama sedang mengambang penuh.


Batin Lambung Setia Raja dan Syah Alam Raja Sehari sangat terpikat dengan kecantikan paras rupa perempuan itu. Sekali lagi mereka bertengkar kerana masing-masing ingin menjadikannya isteri.


" Hamba yang sepatutnya memiliki perempuan itu kerana hamba yang meniliknya. Kalau tidak hamba yang meniliknya kita tidak tahu di mana perempuan itu bersembunyi," tegas Syah Alam Raja Sehari.


‘ Tidak! Hambalah yang wajar memilikinya kerana ilmu pawang hambalah yang dapat menghalau hantu yang menjadi penunggu rumpun buluh ini," pintas Batin Lambung Setia Raja pula.


Masing-masing tidak mahu mengaku kalah lalu mula berkelahi. Melihat keadaan itu maka perempuan itupun berkata:


" Dengar dulu kata-kata hamba. Tuan berdua jangan berkelahi kerana sebenarnya kita ini adik-beradik. Kamu berdua tidak boleh mengahwini hamba," kata perempuan itu.


Kedua dua lelaki itu tercengang dan saling berpandangan. " Siapakah kamu ini?" tanya kedua-dua lelaki itu hampir serentak.


" Nama beta Puteri Bongsu, Puteri raja berdarah putih, bertekak hitam dan berbulu roma songsang. Saudara beta ialah Datuk Hulubalang Misai Beruban dan Datuk Hitam," jawab perempuan itu.


Mendengar kata-kata perempuan itu barulah masing-masing sedar mereka adik beradik.


Sebenarnya mereka bertiga telah dipisahkan oleh ayah mereka semasa mereka masih kecil. Abang yang tua dibawa ke Pagar Ruyung untuk menuntut ilmu pawang. Adiknya yang tengah dihantar ke Pahang untuk mempelajari ilmu tilik manakala adik perempuan yang bongsu disuruh menunggu kepulangan abang-abangnya dengan membawa sedulang nasi.


" Rupa-rupanya kita bertiga adik beradik. Oleh sebab itu kita tidak boleh berkahwin ataupun berkelahi. Kita sepatutnya bersyukur kerana pertemuan ini," kata Syah Alam Raja Sehari.


" Benar seperti kata kekanda kita yang tua itu. Kalau kita berkelahi kelak akan disesali oleh anak cucu kita," kata Puteri Bongsu.


" Jadi apa yang patut kita buat?" tanya Batin Lambung Setia Raja.


" Kita buka negeri di sini dan buatkan tempat kediaman kita," kata Puteri Bongsu.


Lalu mereka bertiga pun membuka negeri dan membuat sebuah istana sebagai tempat kediaman. Tempat itu mereka namakan nasi sedulang. Tetapi akhirnya bertukar menjadi " Kuala Dulang". Tidak lama kemudian Puteri Bongsu berkahwin dengan seorang pemuda pilihannya dan mereka dikurniakan dua orang anak perempuan. Mereka ialah Moyang Angut dan Moyang Angsa yang menjadi pengasas Jelebu.


Semakin hari semakin ramai orang Minangkabau datang ke Kuala Dulang. Orang-orang Minangkabau itu kemudiannya telah mendirikan sebuah masjid di tepi Sungai Teriang dan masjid itu dinamakan " Masjid Kuala Dulang". Tidak jauh dari masjid itu terdapat sebuah lagi sungai bernama Sungai Lumut.





24: ASAL NAMA JEMPOL DAN SEJARAHNYA


Sebelum wujud nama Jempol, telah ada nama lain bagi Jempol; iaitu Leban Condong dan Danau Rasau. Menurut cerita orang tua-tua, nama Leban Condong diperoleh daripada nama seorang anak lelaki seorang asli yang mula-mula mendiami kawasan tersebut. Manakala nama Danau Rasau pula mengambil sempena nama seorang perempuan cantik yang berasal dari Minangkabau. Menurut cerita, Leban Condong telah berkahwin dengan perempuan dari Minangkabau itu dan mereka mendapat seorang anak lelaki yang comel dan tegap tubuh badannya lalu diberi nama Jempol.


Apabila Jempol meningkat dewasa dia menjadi seorang yang gagah. Tidak ada seorang pun yang menandingi kekuatannya. Lantaran kegagahannya itu Leban Condong berharap Jempol akan menjadi seorang pendekar. Lalu Jempol disuruhnya belajar ilmu pendekar daripada guru-guru yang terbilang.


Dengan ilmu pendekar dan kekuatan tubuh badan yang dimilikinya , Jempol ditakuti oleh semua penduduk di sekitar kampung itu. Namanya juga menjadi terkenal. Ini menyebabkan Jempol berasa sombong dan megah dengan kelebihan yang ada pada dirinya. Sikap Jempol itu akhirnya tidak disukai oleh penduduk-penduduk Kampung tersebut.


Di Kampung itu pula ada seorang gadis cantik bernama Melur. Ramai pemuda di kampung itu yang tergila-gilakan Melur, tetapi tidak ada seorang pun berjaya memikatnya. Tambahan pula Melur seorang gadis yang baik budi pekertinya dan tidak mudah diperdayakan.


Seperti anak muda yang lain, Jempol juga terpikat kepada Melur. Dia bercita-cita untuk menjadikan Melur sebagai isterinya. Bagaimanapun sikap Jempol yang angkuh dan sombong itu tidak disenangi oleh Melur dan keluarganya. Lantaran itu apabila Jempol melamar, mereka menolak lamaran itu. Tindakan keluarga Melur itu menyebabkan Jempol tersinggung. Dia menyimpan dendam terhadap Melur.


Melur seorang yang rajin menolong orang tuanya. Apabila tiba musim ke sawah, Melur akan menolong ayah dan ibunya menanam padi.


Pada suatu hari, ketika Melur pulang dari sawah, Jempol menunggu Melur di suatu tempat yang sunyi. Apabila Melur melewati tempat itu, Jempol telah menahannya.


" Apa tujuan kau menghalang perjalanan aku, ha?" tanya Melur apabila Jempol menyekat perjalanannya.


" Aku mahu tahu kenapa keluarga kau menolak pinangan aku?" jawab Jempol tersenyum sinis.


" Ah, sudah gaharu cendana pula. Tentu kau sendiri sedar bahawa kau bukan seorang lelaki yang baik untuk menjadi suami," balas Melur juga sinis.


Jempol berasa sungguh marah apabila mendengar kata-kata Melur itu. Dendam yang sekian lama terpendam semakin membara.


" Inilah peluang aku untuk membalas dendam," bisik hati Jempol.


Melur dapat merasakan bahawa Jempol ingin melakukan sesuatu yang tidak baik terhadap dirinya. Lalu dia cuba melarikan diri, tetapi Jempol dapat menghalangnya. Mereka bergelut seketika. Melur meronta-ronta untuk melepaskan diri, tetapi kekuatan yang ada padanya tidak dapat menandingi kegagahan Jempol. Akhirnya Melur terpaksa menyerah.


Melur mengadukan perkara itu kepada ayah dan ibunya tetapi kedua-dua ibu bapanya tidak berani mengambil tindakan terhadap Jempol kerana dia gagah dan perkasa. Tambahan pula dia anak Tok Batin.


Melur sangat susah hati. Tambahan pula apabila mendapati dirinya telah mengandungkan anak Jempol. Dia berasa amat malu dan akhirnya membunuh diri dengan terjun ke dalam sungai.


Peristiwa itu tidak menginsafkan Jempol, malah, kelakuannya semakin ganas. Pantang terjumpa dengan gadis yang berkenan di hati, lalu diperkosanya. Kelakuan Jempol amat dibenci oleh penduduk kampung tersebut. Akhirnya mereka mengadakan pakatan sulit untuk membunuh Jempol.


" Sudah berpuluh anak gadis kampung ini diperkosa oleh Jempol. Perbuatannya tidak boleh dibiarkan. Entah esok atau lusa, anak gadis kita pula diperkosanya," kata salah seorang daripada mereka.


" Tetapi Jempol itu gagah dan perkasa. Tidak siapa yang dapat menghalang perbuatannya. Kalau kita gunakan kekerasan tentu akan dibunuhnya," kata seorang lagi.


" Jempol juga kebal. Tubuhnya tidak mampan oleh sebarang senjata. Bagaimana kita hendak membunuhnya?" tanya mereka lagi.


" Kita boleh membunuh Jempol dengan menggunakan tipu muslihat," kata seorang yang paling tua di antara mereka. Dia mengetahui rahsia kekebalan Jempol.


Menurut orang tua itu, tubuh badan Jempol memang tidak dapat dilukakan oleh sebarang senjata yang diperbuat daripada besi. Kalau mereka hendak membunuhnya mestilah menggunakan buluh runcing.


Mendengar kata-kata orang tua itu, mereka pun mencari jalan bagaimana hendak membunuh Jempol dengan menggunakan buluh. Setelah lama berfikir dan berbincang akhirnya mereka telah mendapat kata putus.


Salah satu kegemaran Jempol ialah mandi di dalam sungai di hadapan rumahnya. Setiap pagi Jempol akan memanjat pokok halban yang tumbuh di tepi tebing sungai, kemudian terjun ke dalam sungai itu.


Lalu pada suatu malam, beberapa orang penduduk kampung menanam pancang buluh di dalam sungai itu. Pancang buluh itu ditanam tegak. Bahagian yang dihalakan ke atas ditajamkan. Pancang itu tidak kelihatan dari permukaan sungai kerana di tanam di bawah paras air.


Keesokan paginya selepas bangun tidur, Jempol bersiap-siap hendak mandi. Dan seperti biasa, dia pergi ke tebing sungai lalu memanjat pokok halban itu. Pagi itu pula dia memanjat lebih tinggi daripada biasa, kemudian, dia pun terjun ke dalam sungai itu.


Tiba-tiba sebuah jeritan yang menandakan kesakitan yang amat sangat mencemari keheningan pagi yang suci itu. Pemilik suara itu, Jempol, meraung dan meronta-ronta menahan kesakitan akibat tusukan buluh runcing yang terpacak di dalam sungai. Air sungai menjadi merah akibat bercampur dengan darah Jempol yang membuak-buak.


Suara jeritan Jempol masih berterusan menyebabkan beberapa orang penduduk kampung yang tinggal di sekitar sungai itu datang membantu. Jempol dinaikkan ke tebing sungai, tetapi darah Jempol masih memancut-mancut di merata tempat. Kononnya sebab itulah tanah yang terdapat di kawasa Jempol berwarna merah.


Setelah Jempol mati mayatnya di tanam di satu kawasan lurah yang jauh dari kediaman orang. Kononnya kawasan tersebut berhantu. Sesiapa yang melintas di tempat Jempol dikebumikan, akan mendengar suara jeritan meminta tolong. Ada yang yakin bahawa Jempol sedang diseksa di dalam kubur akibat perbuatan jahatnya.


Selepas kematian Jempol, barulah keadaan kampung itu aman. Keluarga Jempol pula telah melarikan diri kerana tidak mahu menanggung malu. Sebagai mengingati peristiwa itu, mereka telah menamakan tempat itu dengan nama Jempol.


Kini, kawasan itu telah dibangunkan. Penduduk kampung tidak takut lagi untuk melintasi kawasan perkuburan Jempol. Tambahan pula berhampiran tempat itu telah didirikan sebuah masjid yang sekarang ini dikenali dengan nama " masjid Kariah Terentang."


Kisah Jempol menjadi pengajaran kepada anak-anak muda di daerah Jempol. Mereka yakin, sesiapa yang membuat jahat pasti akan dibalas jahat.




25: BURUNG PUCUNG KELADI
P
ada suatu hari semua Burung Pucung berkumpul untuk mengadakan mesyuarat. Dalam mesyuarat tersebut mereka berpakat-pakat hendak menghadap Tuhan semesta sekelian alam untuk memohon ditambahkan rezeki harian mereka.


Ini kerana mereka berasa susah sangat hendak mendapat rezeki.Sebab itu burung-burung Pucung nampak kurus belaka.Warnanya yang coklat,lehernya yang panjang serta kurus pula menampakkan kekurusan burung-burung itu berbanding dengan burung yang lain.
Kerana itulah mereka berpakat ingin menghadap Tuhan Azzawajalla supaya ditambahkan rezeki agar tubuh badan mereka lebih berisi, dan tidaklah kelihatan kurus macam lidi.


" Untuk menjadikan badan kita gemuk kita mestilah makan lebih banyak. Kerana itu kita mohon ditambahkan rezeki," kata ketua burung Pucung.


" Kami setuju," teriak burung Pucung sebulat suara.


" Mari Kita mengadap Tuhan mohon supaya diberi makan tujuh kali sehari," kata mereka sebulat suara.


" kami setuju," teriak burung-burung Pucung dengan rasa gembira kerana dapat makan tujuh kali sehari.



Demikianlah rancangan Sang Burung Pucung Keladi dan esoknya mereka pun pergilah mengadap Tuhan untuk mempersembahkan permintaan tersebut.


Apabila sampai di hadapan Tuhan, mereka berasa takut tergigil-gigil hingga apa yang mereka minta jadi terbalik.


" Kami mohon diberi makan tujuh hari sekali," demikian permintaan burung Pucung itu.


Kemudian baru mereka sedar sudah tersilap cakap, sepatutnya memohon rezeki tujuh kali sehari tetapi telah bertukar menjadi tujuh hari sekali. Kerana berasa teramat takut mereka tidak berani untuk membetulkan semula permohonan tersebut.


Lalu mereka pun pulanglah ke tempat masing-masing dengan rasa yang teramat kesalnya,kerana terlanjur meminta rezeki tujuh hari sekali bukan sehari tujuh kali.


Kerana itulah sampai saat ini Burung Puchong Keladi masih kurus melidi dan tidak ada yang gemuk kerana makan hanya tujuh hari sekali.


Catatan:


Kisah burung pucung keladi ini diceritakan oleh Encik Zainal Lasim dari Kampung Sawah Raja.


TAMAT

5 Comments:

At September 13, 2008 at 8:49 AM, Blogger hazrina said...

Salam en latiptalib,
boleh saya tanya jika anda tahu sedikit sebanyak berkaitan sejarah dan asal usul Kampung Galau di Sri Menanti?

 
At April 19, 2009 at 1:05 AM, Blogger namza70 said...

hope to hear more things about the history of rembau possibly on their kampung2 epic,
thanks a lot... very enjoyable post

 
At February 4, 2013 at 1:50 AM, Blogger www.♪♫ мιѕѕ ∂ιαмση∂ яσуαℓ вιԍ ƒαмιℓу ♪♫.com said...

KENAPA GAK ADA CERITA RAKYAT PUTRI PUCUK GELUMPANG??
YANG DARI ACEH ~~!

 
At February 4, 2013 at 1:51 AM, Blogger www.♪♫ мιѕѕ ∂ιαмση∂ яσуαℓ вιԍ ƒαмιℓу ♪♫.com said...

Padahal aku nunggu

 
At February 4, 2013 at 1:52 AM, Blogger www.♪♫ мιѕѕ ∂ιαмση∂ яσуαℓ вιԍ ƒαмιℓу ♪♫.com said...

KENAPA GAK ADA CERITA RAKYAT PUTRI PUCUK GELUMPANG??
YANG DARI ACEH ~~!

 

Post a Comment

<< Home