NOVEL

Sunday, August 14, 2005

TARIQ BIN ZIYAD


Raja Roderick terkesima apabila menerima berita 12,000 tentera Islam yang dipimpin oleh Tariq bin Ziyad, keturunan Barbar, berjaya mendarat di Gibraltar. Lebih menggerunkan hatinya apabila diberitahu Julian Gabenor Ceuta telah berpaling tadah dengan membantu tentera Islam mendarat di pantai tersebut.
Baginda segera memerintahkan 25,000 tentera elitnya untuk menyekat kemaraan tentera Islam. Di bawah kelemayar terik mentari bulan Mei yang memijar itu berlakulah pertempuran sengit antara pahlawan-pahlawan Islam yang ingin menyebarkan syariat Allah dengan tentera Raja Roderick yang terkenal dengan kezalimannya itu.
Angin bertiup kencang menerbangkan debu-debu yang diinjak oleh tapak-tapak kaki perkasa. Camar melayah tinggi gerun menyaksikan gemercingan mata pedang dan tempek sorak tentera-tentera yang kehausan darah.
Pertempuran berhenti sejenak apabila malam melabuhkan tirainya. Tentera Islam yang masih keletihan kerana perjalanan yang jauh itu agak kucar kacir pertahanannya akibat digempur musuh. Tariq bin Ziyad segera mengatur strategi dalam usaha meniupkan kembali semangat juang pasukannya. Dia memerintahkan kapal-kapal kepunyaan mereka dibakar. Kemudia dia berkata;
“ Wahai saudara-saudaraku, di belakang kita laut, di depan kita musuh. Kita tidak boleh melarikan diri. Demi Allah, kita datang ke sini untuk syahid atau mencapai kemenangan.
" Demi Allah, kalau kita berundur, lautan akan menenggelamkan kita. Kalau kita mara musuh sedang menanti. Kita tak memiliki apa-apa selain senjata di tangan. Seandainya kita tewas nama baik kita akan tercemar, Allah akan mencabut rasa gementar di hati musuh dan mereka akan berani terhadap kita. Sebaliknya Allah akan mencabut rasa berani di hati kita bertukar rasa takut terhadap musuh. Oleh kerana itu, pertahankan jiwa kalian.”

Petikan dari buku yang bakal terbit. InsyaAlalh.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home